Monday, July 18, 2011

Ulasan Novel Harga Sebuah Maruah


ZZZT 2213
BENTUK-BENTUK PENULISAN

SEMESTER 3 SESI 2010/2011


ULASAN NOVEL
‘HARGA SEBUAH MARUAH’


DISEDIAKAN UNTUK:

Cik Maharam Mamat


DISEDIAKAN OLEH:

KUMPULAN LEGENDA


Mohd Izzuwan bin Zainol
Omar bin Jaapar
Mohamad Khairan bin Masron
Ahmad Hariz bin Mohd Tazri
Muhammad Hariz bin Zanul Abdin


1.0 PENGENALAN

Dalam konteks penulisan novel, struktur perjalanan atau perkembangan sesebuah jalan cerita novel kebiasaannya ditunjukkan oleh perkembangan sesebuah watak itu. Dengan kata lain, perkembangan watak itu adalah perkembangan jalan cerita novel itu sendiri.

Watak utama ialah watak yang dominan dalam sesebuah karya. Watak ini terlibat secara aktif dan berterusan serta menjadi struktur utama dalam perkembangan plot. Kebiasaannya, watak utama terdiri daripada watak penting dan hadir dari awal seingga akhir cerita.

Watak utama juga selalunya mendapat perhatian dan perlukisan watak yang lebih daripada pengarang. Hal ini sesuai dengan peranan yang diberikannya. Watak ini juga terlibat dalam pelbagai konflik dan pertikaian. Watak yang sesuai dan tepat dapat menyalurkan idealisme dan falsafah kemanusiaan.

Merujuk Kamus Dewan Edisi Ketiga, watak membawa maksud pelaku dalam sesebuah karya sastera atau karya seni (1998, hal 1548). Dalam sesebuah penulisan kreatif, watak merupakan satu elemen yang sangat penting untuk diberi perhatian. Hal ini kerana, perlukisan watak yang seimbang dan kukuh mampu menggerakkan jalan cerita dengan baik. Perkataan perwatakan pula merujuk watak (seseorang) secara keseluruhan. Perwatakan menjadi pembuka jalan dalam pembentukan sesebuah watak (1998, 1549).


2.0 TUJUAN KAJIAN

Tujuan kajian ini adalah untuk melihat bagaimana watak dan perwatakan dalam novel Harga Sebuah Maruah ini ditunjukkan dan dipersembahkan kepada pembaca.

3.0 SKOP KAJIAN

Skop kajian meliputi kajian terhadap watak Cah di dalam novel Harga Sebuah Maruah.


4.0 KAEDAH KAJIAN

Beberapa kaedah telah digunakan untuk mendapatkan maklumat dalam kajian yang dilakukan ini. Pelbagai kaedah ini adalah untuk memastikan maklumat yang diperolehi adalah betul dan tepat. Kaedah tersebut ialah melalui perbincangan kumpulan, mendapatkan bahan pembacaan dari perpustakaan dan sumber lain, dan beberapa bahan rujukan melalui internet.


5.0 SINOPSIS NOVEL

Harga Sebuah Maruah karya Azizi Haji Abdullah ini memaparkan kisah perjuangan seorang wanita yang bernama Cah bersama-sama orang kampung yang sanggup berjuang dan berkorban demi melindungi sawah padi mereka daripada diambil oleh pihak berkuasa untuk tujuan pembangunan. Dalam perjuangannya itu, pelbagai cabaran dan dugaan datang menimpanya serta keluarganya. Cah mempunyai dua orang anak lelaki yang bernama Hijrah dan Sulaiman. Watak kedua-dua orang anak Cah ini digambarkan mempunyai perwatakan yang sangat berbeza. Hijrah digambarkan sebagai seorang anak yang bodoh namun taat dan patuh kepada nasihat ibunya iaitu Cah. Perwatakan abangnya pula, Sulaiman, digambarkan sebagai seorang yang keras hati serta mata duitan. Sulaiman sanggup melawan cakap Cah kerana mahukan tanah sawah ibunya itu dijual. Selain itu, Sulaiman juga sanggup meminggirkan pendapat dan nasihat daripada adiknya iaitu Hijrah semata-mata inginkan supaya tanah sawah tersebut dijual dan dapat dibahagikan hasil jualan tanah tersebut.

Pada permulaan novel, Azizi Haji Abdullah telah memperlihatkan konflik yang melanda Cah di mana masalah yang dihadapi ditonjolkan terlebih dahulu sebelum dirungkaikan secara satu persatu urutan peristiwa yang membawa kepada konflik tersebut. Peristiwa yang berakar umbi daripada sebuah perjumpaan oleh Pengerusi JKK Kampung Kertau, Derani dengan petani-petani di kampung itu, telah menimbulkan konflik yang sangat besar kepada Cah dan juga penduduk kampung tersebut.

Penduduk Kampung Kertau khususnya golongan petani yang mempunyai sawah bendang, telah diminta untuk menyerahkan tanah mereka kepada pihak berkuasa atas alasan pembangunan. Meskipun ditawarkan dengan pampasan yang lumayan, sebilangan besar penduduk Kampung Kertau tidak bersetuju dengan tawaran tersebut kerana mereka telahpun menganggap sawah bendang mereka itu sebagai segala-segalanya melebihi harta benda dan wang.

Pada pertengahan novel ini, Azizi Haji Abdullah menceritakan bagaimana perjuangan orang kampung ditunjukkan melalui tindakan-tindakan oleh Hijrah beserta segelintir orang kampung yang berani menunjukkan penentangan mereka secara terang-terangan. Selain itu, Azizi Haji Abdullah juga menceritakan bagaimana tindakbalas yang dilakukan oleh Derani dalam memujuk orang kampung untuk menerima tawaran tersebut dan kepulangan Sulaiman yang menunjukkan ketidakpuasan hatinya terhadap penentangan yang dilakukan oleh Cah dan Hijrah.

Pada pengakhirannya, Azizi Haji Abdullah menunjukkan kepada pembaca mengenai apa yang sanggup dilakukan oleh Cah dalam mempertahankan sawah bendangnya dan Derani bagi memastikan penduduk Kampung Kertau menerima tawaran tersebut. Azizi Haji Abdullah menunjukkan bagaimana harga sebuah maruah, di mana konteks ini dalam novel merujuk kepada sawah bendang, bagi penduduk Kampung Kertau khususnya Cah, bernilai.


6.0 WATAK CAH DALAM NOVEL HARGA SEBUAH MARUAH

Watak yang dipilih bagi menjalankan kajian ini adalah watak Cah di dalam novel Harga Sebuah Maruah. Watak Cah dalam novel ini merupakan watak utama yang terdapat di dalam novel ini.

Cah merupakan salah seorang penduduk Kampung Kertau yang mana tanah mereka akan diambil oleh pihak berkuasa atas alasan pembangunan. Cah merupakan salah seorang daripada penduduk Kampung Kertau yang sudah berusia berdasarkan umurnya yang telahpun menghampiri 60 tahun.

Memang pun Cah sedar dia sudah tua. Sudah hampir 60 tahun. Tetapi Cah masih mampu mengerjakan sawah tiga relung tanpa upah yang bukan-bukan. Cah sedar dia tidak seperti orang lain. Tiga relung apalah sangat. Menabur dan kini menyerak boleh dilakukan seorang diri. Cabut rumput, menyembur racun juga boleh seorang diri. Lainlah kalau putar jerami atau menuai pakai jentera.
(Azizi Haji Abdullah, 2007: 8 )
Cah juga merupakan seorang balu di mana suaminya iaitu Kasim telahpun meninggal 20 tahun yang lepas.

Rumah pusaka peninggalan Kasim suaminya yang sudah meninggal 20 tahun yang lalu itu bukanlah besar sangat. Sama seperti rumah-rumah kampung di situ. Ada tiga bilik, berdinding papan dan beratap zink sahaja. Masih bertiang walaupun sudah banyak jiran meroboh dan mendirikannya atas tanah tanpa tiang lagi.
(Azizi Haji Abdullah, 2007: 19 )
Cah mempunyai 2 orang lelaki yang bernama Hijrah dan Sulaiman. Hijrah merupakan adik kepada Sulaiman. Hijrah tinggal di Kampung Kertau bersama Cah manakala Sulaiman pula sudahpun menetap dan bekerja di Kuala Lumpur.

Sekali lagi Hijrah tiada di rumah. Tetapi Cah sedikit pun tidak risau ketiadaan Hijrah. Dia tahu anaknya bukanlah daripada golongan merapu tak ketahuan hala. Habis sangat di rumah Pak Kasim. Cah tahu Hijrah sedang angau pada Habibah.
(Azizi Haji Abdullah, 2007: 48 )

Kali kedua Cah menahan sebak sungguh-sungguh. Mengurung amarah dengan kejap. Di hadapannya anak sendiri yang sudah bekerja di Kuala Lumpur.
(Azizi Haji Abdullah, 2007: 167 )

6.1 NILAI DAN PERWATAKAN

Melalui watak Cah dalam novel Harga Sebuah Maruah ini, kajian yang dilakukan terhadap nilai dan perwatakan Cah adalah berdasarkan kepada teori kewanitaan. Teori kewanitaan yang dibincangkan adalah melalui beberapa sudut iaitu daripada sudut citra wanita, sudut biologi, sudut psikologi, sudut sosial, sudut ekonomi dan sudut budaya.


6.2 SUDUT CITRA WANITA

Citra wanita bermakna imej atau gambaran kaum wanita yang dibentangkan, dikemukakan, dan digambarkan oleh penulis novel dalam novel mereka. Citra atau imej wanita bermaksud melihat wanita sama ada dari sudut fizikal, peranan dan penglibatannya sebagai tokoh yang menggerakkan cerita dalam novel.

Dalam novel Harga Sebuah Maruah, watak Cah digambarkan mempunyai semangat perjuangan yang tinggi dan kuat setanding dengan kaum lelaki dalam membela hak harta pusakanya. Kenyataan ini dapat dibuktikan berdasarkan petikan berikut:

Habibah terkedu dan kehilangan kata. Hanya matanya saja disepetkan. Ada semacam gelombang pedih bergelora dalam dadanya. “Mak Cah”, katanya antara keluar dengan tidak. “Jangan biarkan Abang Hijrah tu lama-lama. Kalau perlu jamin, kita jamin. Mak Cah tak cukup duit, ambillah gelang dan duit simpan atuk sikit. Abang Hijrah mesti kene keluar. Kalau tidak sawah ni siapa nak buat?”

“Engkau sayang pada sawah ni?”
“Bibah sayang pada semua sawah kita.”
“Masakan Hijrah boleh lakukan seorang?”
“Kita mesti di belakangnya, di belakang Pak Cik Azmi!”

(Azizi Haji Abdullah, 2007: 178)
Berdasarkan petikan tersebut pengarang cuba menyatakan tentang semangat Cah yang kuat dan utuh untuk berjuang dengan golongan lelaki di mana dalam petikan ini merupakan Azmi bagi mempertahankan hak sawah padi mereka. Jika dinilai secara jelas, pengarang sememangnya ingin menonjolkan watak wanita sebagai pejuang dan membela nasib petani tetapi perjuangan yang dilakukan secara bergolok gadai itu tersungkur dalam kongkongan undang-undang yang tidak mampu mereka tandingi.



6.3 SUDUT BIOLOGI

Dalam sudut biologi, Azizi menekankan aspek- aspek pembangunan sifat dan hak wanita dalam memperjuangkan harta yang diwarisi mereka. Azizi banyak menerapkan pembangunan sifat itu di dalam Cah. Contoh petikan di bawah memperjelaskan penerangan ini:

“Derani, kami nk makan apa lepas ni?” Tiba-tiba Cah bangun. Tak disangkanya dia tiba-tiba jadi berani dan dia sendiri hairan apabila dilihat kiri dan kanan, dia saja yang berdiri. Tapi terasa pula hembusan semangat daripada Habibah di sisinya.

                                                                                                (Azizi Haji Abdullah, 2007: 23)

“Bukan soal faedah, tapi sawah kami ni tergantikah?” Cah semakin berani. Sekali lagi dia hairan, dia berdiri itu seperti ada orang menujah punggungnya. Habibah disisi hanya mengerunas kuku.

                                                                                                (Azizi Haji Abdullah, 2007: 23)

“Jangan!” keriau Cah dengan kuat, hampir-hampir terkeluar kencingnya. Parang di tangannya di angkat-angkat apabila melihat jentera itu menodok semahu-mahu dan kehendak melampaui petak Pak Kasim untuk masuk ke petaknya pula. Mungkin selepas petak Cah, petak Azmi pula.

                                                                                               (Azizi Haji Abdullah, 2007: 364)
“Tidur di sini. Bentengkan! Kita benteng Yajuj itu. Jangan takut!” Cah merebahkan dirinya dengan pantas sambil berteriak kepada Habibah dan dipeluknya Habibah dengan kuat, menyembam mukanya ke tanah selut, merangum pokok-pokok padi menutupi badan dan menutup telinga untuk mengelak daripada terdengar apa-apa.
                         (Azizi Haji Abdullah, 2007: 366)

Berdasarkan beberapa contoh petikan yang diambil daripada novel, Azizi telah menggarapkan ciri-ciri perjuangan dalam watak Cah. Azizi lebih menfokuskan Cah sebagai seorang wanita yang sangat berkobar-kobar dan menjadi pemimpin kelompok wanita dalam memperjuangan tanah sawah mereka. Di dalam novel ini, Cah menjadi elemen penghidup dalam menyampaikan mesej. Penerapan kod biologi yang dimasukkan oleh Azizi dalam novel ini boleh dikatakan sebagai satu penyampaian yang baik dalam memartabkan golongan wanita terhadap perjuangan.


6.4 SUDUT PSIKOLOGI

Watak Cah yang digambarkan sebagai seorang wanita tua, janda dan ibu yang tegas dan bertanggungjawab terhadap anak-anaknya serta dalam masa yang sama mempunyai semangat yang tinggi dalam memperjuangkan hak harta pusakanya dalam kelompok masyarakat kampung itu. Cah juga di anggap sebagai ketua wanita kepada wanita-wanita yang lain di kampung halamannya selain menjadi sayap kanan kepada golongan lelaki dalam memperjuangan tanah sawah mereka daripada diambil oleh pihak berkuasa untuk dijadikan tapak pembangunan. Gambaran psikologi watak Cah dipotretkan oleh Azizi Haji Abdullah seperti berikut:

Cah tidak menyangka sama sekali petang itu dia menjadi seekor singa betina yang lapar. Pada matanya yang pudar itu menyala- nyala kilatan kebencian yang amat sangat. Memperkatakan tentang sawah seperti memperkatakan maruahnya dan maruah seluruh pesawah kampung. Cah tidak tahu menyukat, sebanyak mana harga maruah mereka, tetapi dia dapat merasa bagaimana masa depan mereka begitu tercabar. Habibah disisinya pasti merasainya.
(Azizi Haji Abdullah, 2007: 25)

Cah sebenarnya tidak sedar pun apabila dikatakan ia seorang perempaun yang bingal dan suka menetang arus pembanguna. Yang dirasanya, sawah adalah nadi- nadinya yang tidak boleh diusik, sawah adalah peninggalan datuk neneknya, yang dipertahankan oleh suaminya dulu dan ingin menyambung wasiat suami betapa sawah mesti diusahakan. “Dengan kita hidup dan menyara anak- anak kita.” Demikian kata suaminya 25 tahun yang lalu.
(Azizi Haji Abdullah, 2007: 25)
Berlinanglah air mata Cah mendengar kata- kata Sulaiman, anaknya itu. Dia sedaya upaya tidak mahu menampakkan kesedihan kepada Sulaiman air mata sedihnya. Lalu disekanya cepat kerana Hijrah kena tahan, sedangkan sedihnya adalah kerana kata- kata Sulaiman yang menggambarkan sudah hilang keakraban darah daging sendiri.
(Azizi Haji Abdullah, 2007: 166)

Berdasarkan petikan di atas dapat digambarkan bahawa sifat Cah adalah seorang wanita yang berpendirian tegas serta mempunyai semangat yang tinggi menegakkan haknya. Watak Cah juga boleh dianggarkan sebagai seorang wanita yang garang dan degil kerana sukar untuk menerima pendapat yang dirasakan menindas atau mencabuli hak terhadap tanah sawah miliknya.

Bagi contoh petikan ketiga, watak Cah telah digarapkan dengan nilai kesedihan akibat terkilan dengan sikap anaknya iaitu Sulaiman yang telah lupa pada asal-usulnya sebagai anak pesawah dan tidak mahu menjamin adiknya Hijrah yang telah dipenjara. Azizi menggambarkan watak Cah sebagai seorang wanita tua yang garang, tegas dan berpendirian tetapi turut menyelitkan nilai sensitif sesuai dengan sifat wanita yang sememangnya lembut, mudah tersentuh, cemburu dan sebagainya.

6.5 SUDUT SOSIAL

Watak Cah yang ditonjolkan daripada sudut sosial adalah pembelajaran yang diterimanya semasa dia masih kecil lagi. Berikut merupakan contoh petikan berkaitan kod atau aspek sosial.

Cah masih ingat pesanan bapanya dahulu, ketika dia gadis sunti apabila bapanya ajak turun ke sawah untuk membuktikan kasih sayang pada pokok padi. “Belailah pokok- pokok yang daif dan sakit,” kata bapanya, “belailah seolah- olah kita memberi mereka yang sedang lena.” Lalu dilihatnya bapanya memandikan dengan air sawah yang dicedok di celah- celah pokok. Dibasuhnya pula kaki dan betis dengan air petak itu juga. Kata bapanya, membasuh kaki, membasuh betis sama dengan kita memandikan pokok padi. Resapkan perasaan kita bahawa engkau adalah ibu dan pokok padi adalah anak kau, kata bapanya.
(Azizi Haji Abdullah, 2007: 181)

Bagi contoh, Azizi cuba menggambarkan aspek sosial melalui didikan secara tidak formal. Berbeza dengan watak Habibah yang menerima pendidikan secara formal, watak Cah yang pada ketika itu masih gadis sunti telah diterapkan pendidikan tidak formal oleh bapanya dengan didikan dan cara untuk membelai dan mengasihi pokok- pokok padi agar semangat padi itu terus subur dan dapat menghasilkan buah padi yang lebat dan baik. Apa yang jelas, melalui didikan itulah watak Cah digambarkan sebagai seorang yang optimis dan taksub terhadap sawah padi yang diusahakannya.


6.6 SUDUT EKONOMI

Watak Cah digambarkan sebagai seorang wanita yang hidup dalam kesederhanaan dan hanya memiliki sawah bendang sebagai harta pusakanya. Selain itu, pada watak Cah, Azizi telah menggambarkannya sebagai wanita yang mempunyai daya saing yang tinggi dengan kaum lelaki dalam mengurus dan menjalankan aktiviti bersawah sebagai sumber ekonomi mereka. Pengarang memerihalkan suasana ini seperti berikut:

Hidup Cah tidak pernah berasa sunyi. Walaupun tidak bersuami, walaupun tidak ada dunia lain daripada dunia yang dihadapinya. Erti hidup bagi Cah hanyalah tiga relung sawah peninggalan arwah bapa yang kemudiannya diusahakan oleh suami, kemudian dia sendiri, bersama-sama Hijrah.

(Azizi Haji Abdullah, 2007: 1)

Cah hanya diam. Satu hari nanti akan dibelinya juga kalau ada duit lebih. Dia pun suka Hijrah ambil upah, selain putar sawah sendiri.

(Azizi Haji Abdullah, 2007: 33)

Majoriti penduduk hanya bergantung kepada sumber aktiviti bersawah selain dari bercucuk tanam sebagai punca pendapatan mereka. Watak Cah yang dilabel sebagai wanita tua yang berumur awal 60-an merupakan satu mesej subjektif yang diwujudkan kerana mampu mengusahakan aktiviti bersawah pada peringkat umur yang sudah senja sebagai sumber pendapatan ekonomi terhadap keluarganya.

Selain itu, Azizi tidak hanya menfokuskan kepada watak Cah sebagai medan pengerak ekonomi keluarga, beberapa orang watak wanita lain turut digambarkan sebagai peneraju ekonomi kepada keluarga masing- masing. Antaranya watak Habibah yang turut menjalankan aktiviti bersawah sebagai sumber ekonomi keluarganya disamping watak Leha, Puziah dan Siti Zainab yang turut membanting tulang mengusahakan sawah padi mereka sebagai sumber pendapatan.



6.7 SUDUT BUDAYA

Azizi menampilkan watak Cah sebagai pencerita dan pengolah terhadap budaya dan tradisi yang diwarisi oleh arwah bapanya. Meskipun zaman sudah beralih kepada era kemodenan, namun Cah tetap berpegang teguh dan mengamalkan adat dan budaya tradisional yang diwarisinya. Gambaran tersebut dipotretkan oleh Azizi seperti berikut.
Cah menunggu guni padi benih yang direndamnya bukan kali itu saja. Selalunya Cah buat begitu, sejak kematian suaminya 20 tahun yang lalu. Azmi, jirannya di tepi rumah, cukup lucu melihatnya. Biarkan, fikir Cah. Azmi mungkin tidak tahu mengapa dia tunggu guni padi benihnya di tepi parit.

Azmi tidak tahu dia mahu memberi satu penghormatan kepada benih padi yang hendak bertunas. Macamlah juga menunggu orang hendak bersalin. Padi benih tentu berbesar hati kalau tahu ada orang menunggu dan menemaninya. Maka sebab itulah Cah sanggup menghabiskan satu malam, jika padi benihnya direndam. Bukan selalu, bisik Cah. Dia cuma buat sekali dalam satu piama.
(Azizi Haji Abdullah, 2007: 5)

“Kalau hendak bawa benih padi merah, ambillah kira-kira sejemput. Buat longgok empat-empat atau bahagikan biji padi dengan empat. Kalau lebih sebiji, alamat terkena pada tanah dan benih itu tidak boleh dibawa. Kalau ketegar juga, nescaya padi itu diserang ulat. Kalau lebih dua, jatuh pada air. Benih itu cukuplah naik. Kalau lebih tiga, alamat kena api, akan terkena penyakit merah.
“Nak susah apa, sekarang ada racun cap tengkorak,” Tiba-tiba Hijrah mencelah.

(Azizi Haji Abdullah, 2007: 51)

Berdasarkan contoh petikan-petikan yang diberi, pengarang telah menjadikan Cah sebagai pewaris tradisional dalam menyampaikan adat budaya dan tradisi kepada penduduk- penduduk sekampung terutamanya kepada golongan muda seperti Habibah, Hijrah, Leha, Azmi dan lain- lain lagi. Meskipun terdapat peralatan, mesin dan jentera yang canggih, watak Cah digambarkan tetap setia mengikut tradisi dalam menjalankan aktiviti bersawah kerana baginya nilai budaya dan tradisi itulah yang mendekatkan dirinya agar sentisa menyanyangi sawah bendang.


7.0 KESIMPULAN

Watak Cah yang ditonjolkan oleh Azizi Haji Abdullah dalam novel Harga Sebuah Maruah ini telah dilengkapkan dengan teori kewanitaan daripada segi sudut citra wanita, biologi, psikologi, sosial, ekonomi dan budaya. Penghuraian dan perkembangan watak Cah ini membawa kepada perjalanan perkembangan novel Harga Sebuah Maruah.

Ini adalah perkara biasa di mana watak utama adalah tunjang bagi pembawaan sesebuah cerita itu. Meskipun watak Cah hanyalah seorang wanita tua yang sudahpun kehilangan suami, namun ia telah dapat digarap dengan baik oleh Azizi Haji Abdullah di mana ia menjadi sebuah watak yang amat kuat.

Novel Harga Sebuah Maruah yang sarat dengan unsur- unsur berkaitan dengan kewanitaan merupakan sebuah novel yang memartabatkan golongan wanita dalam memperjuangkan hak sawah pusaka mereka. Pelbagai elemen telah disuntik terhadap watak dan perwatakan dalam novel ini sebagai wardah pelengkap dan penarik terhadap jalan cerita ini. Atas sebab itu, teori kewanitaan menjadi aspek kajian yang dipilih bagi ulasan novel Harga Sebuah Maruah ini.

RUJUKAN

Azizi Haji Abdullah. 2007. Harga Sebuah Maruah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Botty Rosyanti Ahmad. 2008. Karyawan Bulan Ini: Azizi Haji Abdullah. Dewan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mana Sikana. 1998. Kritikan Sastera Moden: Teori dan Pendekatan. Shah Alam: Fajar Bakti.

Siti Hajar Che Man. 2007. Esei- Esei Kritikan Feminisme Dalam Kesusasteraan Melayu. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Zalila Sharif. 2003. Feminisme Dalam Kesusasteraan Malaysia dan Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments: