Sunday, July 17, 2011

Refleksi Jurnal untuk Ulasan Novel




ZZZT 2213
BENTUK-BENTUK PENULISAN

SEMESTER 3 SESI 2010/2011



REFLEKSI JURNAL


DISEDIAKAN UNTUK:

Cik Maharam Mamat


DISEDIAKAN OLEH:

KUMPULAN LEGENDA


Mohd Izzuwan bin Zainol
Omar bin Jaapar
Mohamad Khairan bin Masron
Ahmad Hariz bin Mohd Tazri
Muhammad Hariz bin Zanul Abdin



1. Pendahuluan

Jurnal refleksi ini ditulis bertujuan untuk melaporkan setiap langkah kerja yang dilakukan dalam usaha untuk menjayakan ulasan novel, dimana novel yang telah dipilih oleh kumpulan kami berjudul Harga Sebuah Maruah karya Azizi Haji Abdullah.

Di dalam jurnal ini kami menyatakan beberapa refleksi yang telah berlaku dalam usaha untuk menyiapkan ulasan novel itu, di mana di antaranya adalah kami menyatakan peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika menyiapkan ulasan novel tersebut. Ulasan novel yang dibuat ini memerlukan banyak langkah di mana terdapat urutan-urutan peristiwa yang penting yang berlaku. Tanpa salah satu peristiwa tersebut ataupun tanpa urutan peristiwa yang betul, ulasan novel Harga Sebuah Maruah ini mungkin tidak dapat disiapkan dengan sempurna.

Ulasan novel ini juga dilakukan dengan kerjasama semua ahli kumpulan dan juga dengan bantuan beberapa kenalan kami yang lebih pakar mengenai kesusasteraan Bahasa Melayu terutamanya mengenai perkara yang berkaitan dengan novel. Setelah itu, kami juga akan menyatakan pengalaman pembelajaran yang diperolehi ketika dalam proses membuat ulasan novel. Secara jujurnya, proses membuat ulasan novel ini merupakan pengalaman kali pertama kami semasa di dalam Universiti Kebangsaan Malaysia dalam perkara sebegini yang berkaitan dengan novel. Sebelum ini, pengalaman terakhir kami dalam bidang kesusasteraan Bahasa Melayu hanyalah semasa kami berada di dalam Tingkatan 5. Sudah tentu kesusasteraan pada ketika itu dan ini banyak perbezaannya terutama daripada ilmu yang dimiliki.


Walaupun kami telahpun mempelajarinya semasa di bangku sekolah dahulu, namun ianya sudah ditinggalkan lebih daripada 4 tahun. Pengetahuan kami sudah tentu terbatas dan banyak perkara yang telah terlupakan. Tambahan pula, kami merupakan pelajar jurusan Perakaunan daripada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan yang tidak menyentuh langsung mengenai novel dalam proses pembelajaran kami. Oleh itu, pengalaman yang diperoleh dalam membuat ulasan novel ini adalah sangat baru dan asing buat kami semua.

Seterusnya kami juga menyatakan kelemahan dan kekuatan yang ada pada kumpulan kami semasa menjalankan tugasan ini. Walaupun kami sudah lama mengenali antara satu sama lain, namun dengan adanya tugasan ini yang mana kami menganggap ianya adalah satu cabaran yang baru kepada kami sebagai pelajar jurusan Perakaunan, pelbagai kelemahan dan kekuatan juga telah ditemui dalam kumpulan yang mana ianya adalah baru disedari oleh kami. Kami akan membahagikan kelemahan dan kekuatan kepada 2 perenggan berasingan di mana kami akan menunjukkan secara terperinci mengenai perkara-perkara tersebut.

Akhir sekali, kami akan memberikan langkah-langkah dan cadangan untuk memperbaiki dan membuat penambahbaikan terhadap novel tersebut. Walaupun kami bukanlah penulis novel mahupun mempunyai ilmu yang mendalam tentang novel, namun kami tetap mahu berkongsi tentang langkah-langkah dan cadangan penambahbaikan terhadap novel tersebut selaku pembaca novel tersebut.


2. Peristiwa-Peristiwa Sepanjang Membuat Ulasan Novel

Setelah selesai mendapat tugasan yang diberikan oleh pensyarah Bentuk-bentuk Penulisan iaitu Puan Maharam Mamat, kumpulan kami telah mengadakan satu perbincangan ringkas untuk membincangkan tentang tugasan ulasan novel yang diberikan didalam kuliah itu. Perbincangan ringkas ini telah diadakan pada hari tersebut juga iaitu pada tanggal 9 Mei 2011. Perbincangan diadakan dengan kehadiran semua ahli kumpulan tanpa sebarang pengecualian. Pada mulanya, kami merancang untuk mengadakan perbincangan ini di luar dewan kuliah sahaja. Namun, beberapa anggota kumpulan kami berpendapat ia adalah lebih mudah dan selesa sekiranya diadakan perbincangan ini di bilik kediaman sahaja. Tambahan pula, kesemua ahli kumpulan menetap di kolej kediaman yang sama iaitu Kolej Dato Onn.

Perbincangan kali pertama setakat diadakan secara basa-basi sahaja. Perbincangan dilakukan secara bersahaja dengan masing-masing mengutarakan pendapat dan pengalaman membaca novel. Kesemua ahli kumpulan menyatakan pernah membaca novel sekurang-kurangnya sebuah novel sepanjang hidup. Kami juga berbincang tentang genre-genre novel yang terdapat di pasaran beserta contoh-contohnya. Pendek kata, pada perbincangan pertama ini, kami hanya berborak-borak dan berkongsi pengetahuan masing-masing mengenai novel. Pada akhirnya, perbincangan ini berakhir dengan setiap ahli kumpulan diarahkan untuk mencari novel-novel yang boleh dipilih untuk dijadikan kajian.

Perbincangan seterusnya diadakan dua hari selepas dari itu iaitu pada 11 Mei 2011. Ianya dijalankan di bilik salah seorang daripada kami di kolej. Dalam perbincangan ini, setiap seorang daripada kami telah memberikan tajuk novel yang boleh dijadikan sebagai bahan kajian. Antara novel-novel yang dicadangkan untuk dipilih adalah Memoir Seorang Guru karya Azizi Haji Abdullah, Anak Belantara karya Azizi Haji Abdullah, Harga Sebuah Maruah juga karya Azizi Haji Abdullah dan Lagenda Budak Setan karya Ahadiat Akashah. Setiap seorang daripada kami memberikan kelebihan-kelebihan novel tersebut dan alasan-alasan mengapa novel-novel tersebut patut dipilih dalam membuat ulasan novel.

Novel Memoir Seorang Guru menceritakan pengalaman seorang bekas guru yang telah mengajar di pelbagai buah sekolah yang mana dia menyaksikan pelbagai kerenah dan telah melakukan perbuatan-perbuatan yang disesalinya sekarang setelah tidak lagi bergelar guru. Dia dihantui perasaan bersalah dan perasaan itu membawa terhadap terjadinya konflik yang berlaku antara dia dan anak gadisnya yang bercita-cita untuk mengikut jejak langkahnya.

Novel Anak Belantara pula menceritakan tentang kehidupan seorang pemuda daripada suku Kayan di Sarawak. Uloi Jau dan kaumnya menghadapi masalah kekurangan sumber buruan kesan daripada kerja-kerja pembalakan yang dilakukan. Dia berhijrah ke tanah semenanjung di mana dia turut menghadapi masalah yang hampir serupa iaitu masalah tanah yang diceroboh. Uloi Jau yang mula sedar, pulang ke kampung halamannya dan mula berjuang untuk hak terhadap tanah kaumnya.

Novel Lagenda Budak Setan menceritakan tentang percintaan di antara Kasyah dan Ayu. Daripada hanya mengusik, perasaan itu telahpun bertukar menjadi cinta yang berputik. Percintaan mereka bagaimanapun menghadapi badi apabila Ayu telah dijodohkan dengan lelaki lain. Kasyah yang kecewa telah membawa diri dan cuba memulakan hidup baru.

Novel Harga Sebuah Maruah pula menceritakan bagaimana perjuangan Cah dan anaknya Hijrah dalam mempertahankan tanah sawah mereka daripada diambil oleh pihak berkuasa atas alasan pembangunan. Pelbagai peristiwa ditempuh mereka di antaranya Hijrah telah ditahan di lokap dan juga perselisihan faham di antara Hijrah dan abangnya, Sulaiman yang hanya mementingkan wang pampasan.

Setelah diteliti dan diperhalusi secara masak-masak, kami sebulat suara memilih novel Harga Sebuah Maruah kerana banyak nilai yang dapat dipelajari dari novel itu. Dalam perbincangan ini kami juga mengagihkan kerja-kerja kepada setiap ahli kumpulan untuk memastikan kerjasama yang diperolehi setiap dari kami adalah adil dan saksama. Setiap dari kami juga diberi tarikh untuk menyiapkan kerja masing-masing bagi memastikan kelancaran tugasan yang diberikan.

Dalam usaha untuk menjayakan ulasan novel ini, pelbagai peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh setiap dari ahli kumpulan kami. Ini kerana terdapat isu yang timbul apabila dalam proses menyiapkan ulasan novel tersebut. Antaranya adalah kami perlu berbincang untuk memastikan fokus penyiasatan kami adalah tepat dengan tajuk yang dikehendaki. Kami juga perlu memastikan setiap ahli kumpulan diagihkan kerja secara adil supaya tiada pertelingkahan antara kumpulan berlaku.

Dari sini, timbul beberapa masalah yang dihadapi ketika perlaksanaan ulasan novel. Antara masalah-masalahnya adalah terdapat ahli kumpulan yang tidak dapat hadir untuk sesi perbincangan kerana masalah peribadi. Selain itu, maklumat yang diperlukan juga sukar untuk diperolehi kerana tiada maklumat yang luas terhadap novel yang dikaji kumpulan kami. Kami juga menghadapi kekangan masa kerana semester ini adalah semester pendek oleh itu masa yang ada sangat singkat bagi kami menyiapkan kerja pada masa yang ditetapkan oleh pensyarah.


3. Pengalaman Pembelajaran Yang Dialami

Semasa dalam proses melaksanakan tugasan ulasan novel ini, pelbagai perkara yang telah kami pelajari. Antaranya adalah kami mempelajari sedikit sebanyak tentang watak dan perwatakan dalam sesebuah novel. Ini adalah kerana ulasan novel yang dibuat oleh kumpulan kami memberi fokus kepada perwatakan salah seorang watak dalam novel tersebut. Jadi disini kami mempelajari untuk menerangkan tentang sifat watak seseorang di dalam sebuah novel mengenai kekuatan dan kelemahan watak tersebut. Kami juga dapat membezakan antara watak utama dan watak sampingan dalam novel tersebut. Daripada perwatakan yang dimiliki dalam novel itu juga, kami dapat menerangkan nilai-nilai dan persoalan yang ada pada sesebuah watak di dalam novel.

Selain dari itu, kami juga mempelajari bagaimana untuk bekerjasama di dalam sebuah kumpulan. Dalam tugasan ini kerjasama sangat penting kerana jika terdapat pertelingkahan sesama ahli kumpulan boleh menyebabkan tugasan ini tidak dapat dijalankan dengan baik. Disebabkan wujud kerjasama didalam kumpulan ini tugasan dapat diselesaikan dengan lancar dan tepat pada waktu yang ditetapkan. Setiap ahli kumpulan diminta untuk mengumpul tugasan-tugasan yang diberikan kepada ketua kumpulan untuk tujuan menjadikannya sebagai satu laporan. Di waktu yang sama setiap ahli kumpulan akan bersama untuk mengesan sebarang kesilapan yang ada supaya dapat diperbetulkan supaya tiada sebarang kesalahan wujud.

Selain itu juga, kami mempelajari persepsi yang berbeza-beza diantara ahli kumpulan. Oleh kerana pandangan-pandangan dari ahli kumpulan yang berbeza, perbincangan harus dilakukan dan mendapatkan persetujuan untuk menggunakan alternatif yang terbaik. Di sini kami mempelajari untuk bertolak ansur sesama ahli kumpulan dan sanggup menerima kritikan dari ahli kumpulan sendiri untuk menyedarkan kesilapan yang telah dilakukan dan belajar untuk lebih berusaha mendapatkan pandangan yang lebih baik dan memperbaiki atau melakukan penambahbaikan terhadap ulasan novel tersebut. Ini adalah antara pengalaman pembelajaran yang telah kami perolehi sepanjang kami menyiapkan tugasan ulasan novel ini.


4. Kelemahan Semasa Menjalankan Tugasan

Sepanjang menjalankan tugasan membuat ulasan novel, kami telah mendapat dan mengenalpasti kelemahan yang terdapat pada kumpulan kami. Kelemahan-kelemahan yang didapati adalah pada tahap minimum di mana ianya dapat diterima secara terbuka oleh setiap ahli kumpulan kami. Kelemahan yang paling utama adalah kurangnya kesedaran mengenai tanggungjawab masing-masing. Kesedaran yang kurang mengenai tanggungjawab masing-masing ini kebanyakannya adalah berpunca tentang kecuaian diri sendiri.

Kecuaian diri sendiri yang dimaksudkan adalah mengenai kegagalan kami untuk menyesuaikan keadaan diri dengan semester pendek. Walaupun sudah mengambil semester pendek sebelum ini, namun kami tidak berbuat langkah yang sepatutnya dalam gerak kerja kami. Kami seolah-olah menganggap yang kami berada dalam semester biasa di mana terdapat 14 minggu perkuliahan berbanding 7 minggu dalam semester pendek. Kami gagal untuk membuat kerja-kerja dengan kadar yang lebih pantas. Kebanyakan gerak kerja hanya dilakukan setelah mendapat desakan daripada ahli kumpulan yang lain ataupun setelah diingatkan oleh pensyarah semasa di dalam kelas.

Kesemua ahli kumpulan menerima kelemahan ini sebagai sesuatu yang boleh diterima asalkan kesemua tugasan masing-masing dapat disiapkan dan dikumpul di mana seterusnya ia dapat dihantar kepada pensyarah sebelum tarikh akhir penerimaan. Kelemahan seterusnya yang dapat dikenalpasti adalah kekurangan pengetahuan tentang ilmu kesusasteraan Bahasa Melayu khususnya dalam bidang penulisan novel.

Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, dengan kesemua ahli kumpulan kami mempunyai latar belakang sebagai pelajar jurusan Perakaunan daripada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, kami kekurangan ilmu pengetahuan mengenai kesusasteraan terutamanya novel. Untuk mengatasi permasalahan tersebut, kami telah berkongsi pendapat dan mengambil keputusan untuk meminta pertolongan daripada seorang rakan kepada salah seorang daripada kami. Dengan berlatarbelakangkan sebagai bekas pelajar sarjana muda persuratan Melayu, dia merupakan calon terbaik dalam membantu kami.

Dia menerangkan tentang apa yang membentuk sebuah novel itu dan aspek-aspek yang membantu dalam sesebuah penceritaan novel itu. Dengan nasihat dan bantuannya, kami sepakat untuk memilih watak dan perwatakan sebagai aspek yang dikaji dalam membuat ulasan novel. Setelah itu, kerja-kerja kami dan segala permasalahan kami dapat diselesaikan dengan bantuan dan pertolongannya. Ini secara langsung dapat membantu kami mengatasi kelemahan kami dalam kurangnya pengetahuan dalam bidang kesusasteraan Bahasa Melayu.


5. Kekuatan Semasa Membuat Tugasan

Di samping mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang wujud dalam kumpulan, kami juga telah dapat menemui dan mengenalpasti kekuatan-kekuatan kumpulan kami. Kekuatan ataupun kelebihan pertama yang dapat kami kenalpasti adalah komunikasi yang mudah diwujudkan antara setiap ahli. Seperti yang telah disebutkan sebelumnya, kesemua ahli kumpulan kami merupakan daripada jurusan yang sama iaitu jurusan perakaunan.

Sebelum ini, kami telahpun mempunyai pengalaman dalam membuat kerja secara bersama. Pembelajaran dalam universiti yang banyak memerlukan pembentukan kumpulan dalam membuat sesuatu tugasan telah memberi kami peluang membuat kerja bersama-sama sebelum ini. Oleh itu, dalam tugasan ini, hampir semua tingkahlaku ataupun kebiasaan setiap daripada kami telahpun dapat difahami. Ini banyak membantu dalam menyelesaikan tugasan dalam masa yang singkat.

Selain itu, kedudukan bilik yang berdekatan juga menjadi salah satu kelebihan ataupun kekuatan kami. Sekiranya ada sesuatu permasalahan ataupun persoalan yang timbul dalam membuat tugasan ini, kami mudah untuk berjumpa bagi menyelesaikannya. Masalah atau persoalan yang timbul bukan sahaja dapat diselesaikan, ianya juga diselesaikan dapat masa yang singkat.

Sekiranya kesemua ahli kumpulan kami duduk berjauhan, ini mungkin menyukarkan kami untuk berbincang mengenai masalah ataupun persoalan yang timbul. Walaupun dengan adanya telefon bimbit dan kemudahan internet, penyelesaian masalah dengan berjumpa secara berdepan merupakan cara yang terbaik sekali. Semua kekusutan dapat diluahkan tanpa tertinggal sedikitpun dan penyelesaian masalah dapat difikirkan pada masa itu juga.


6. Langkah-Langkah Dan Cadangan-Cadangan Penambahbaikan

Langkah-langkah dan cadangan penambaikan yang kami telah sepakati dan persetujui bersama untuk dicadangkan adalah melibatkan kerja-kerja ulasan novel. Seperti yang telah dibincangkan dalam kelemahan semasa menjalankan tugasan membuat ulasan novel, kami telah menjumpai dan mengenalpasti beberapa kelemahan kami.

Kelemahan yang pertama adalah kurangnya kesedaran tentang tanggungjawab masing-masing pada semester pendek. Ini boleh diatasi dengan setiap ahli kumpulan saling ingat-mengingatkan antara satu sama lain tentang tanggungjawab masing-masing. Langkah ini tidak terhad dalam semester pendek sahaja di mana ia boleh diaplikasikan dan diamalkan dalam pembelajaran dan pembuatan tugasan dalam semester biasa.

Bagi kelemahan yang seterusnya iaitu kekurangan ilmu pengetahuan tentang kesusasteraan Bahasa Melayu, ia juga mempunyai jalan penyelesaiannya yang tersendiri. Kumpulan kami telah mengambil jalan untuk meminta bantuan seseorang yang mempunyai pengetahuan yang lebih mendalam tentang kesusasteraan Bahasa Melayu. Selain daripada langkah ini, kami juga telah merujuk kembali kepada nota-nota dan bahan bacaan tentang kesusasteraan Bahasa Melayu yang dipelajari pada bangku persekolahan dahulu.

Dengan mengambil langkah-langkah yang telah dijelaskan di atas, segala masalah dan kekusutan yang timbul dalam membuat tugasan ulasan novel telah dapat diatasi dengan berjaya. Selain itu, kerjasama sesama ahli kumpulan adalah kunci segala-galanya. Ia penting bagi memahami setiap ahli kumpulan kami dan saling membantu dalam menyelesaikan tugasan ulasan novel ini.


7. Penutup

Sebagai kesimpulan bagi refleksi jurnal ini, tugasan ulasan novel yang telah diberikan kami telah banyak membantu kami dalam melengkapkan diri sebagai seorang pelajar yang mampu untuk bekerja dalam satu kumpulan.

Segala usaha dan penat lelah kami dalam menyelesaikan tugasan ini membuahkan hasil apabila ianya telah lengkap dan siap untuk dihantar. Ia merupakan hasil daripada kerjasama setiap ahli kumpulan yang tidak berbelah bahagi. Selain itu, pertolongan dan bimbingan daripada pensyarah juga banyak membantu. Segala ilmu yang diajar dalam waktu kuliah sangat membantu kami dalam menyiapkan tugasan ulasan novel ini mengikut kehendak pensyarah.

Selain itu, bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan semasa kami menghantar salinan awal laporan kertas kerja juga banyak membantu. Ulasan-ulasan yang diberikan oleh pensyarah dalam waktu kuliah kami jadikan sebagai garis panduan dalam membuat tugasan-tugasan yang diberikan.

Sebagai penutup, sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada kesemua pihak yang membantu kami dalam membuat tugasan ulasan novel Harga Sebuah Maruah.

No comments: