Thursday, May 29, 2014

JURNAL REFLEKSI Kajian GAYA HIDUP SIHAT





JURNAL REFLEKSI

GAYA HIDUP SIHAT: SATU KAJIAN KESEDARAN PELAJAR TERHADAP CARA HIDUP SIHAT

OLEH:

Anis Asmira Binti Amir Shariffudin
Nur Athirah Binti Mohd Nordin         
Nor Hanani Binti Mazlan
Tengku Athirah Binti Tengku Azhar
Francis Anthony Ligadu
Nazrul Farid Bin Amirudin
Nur Atiqah Nasibah Binti Abu Bakar
Muhammad Hafizuddin Bin Salehuddin
Nur Musfirah Binti Mustak Ahmad               



1. Pendahuluan

Refleksi jurnal ini ditulis bertujuan untuk melaporkan setiap langkah kerja yang dilakukan dalam usaha untuk menjayakan projek pembangunan diri kumpulan kami, iaitu tajuk projek yang kami jalankan ialah “Gaya Hidup Sihat: Satu Kajian Tentang Kesedaran Pelajar Terhadap Cara Hidup Sihat yang Betul”.

Di dalam jurnal ini kami menyatakan beberapa refleksi yang telah berlaku dalam usaha untuk menjayakan projek ini, di mana di antaranya adalah kami menyatakan peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang projek ini dijalankan. Projek dibawah naugan kami ini memerlukan banyak langkah di mana terdapat urutan-urutan peristiwa yang penting yang berlaku. Tanpa salah satu peristiwa tersebut ataupun tanpa urutan peristiwa yang betul, projek “Gaya Hidup Sihat: Satu Kajian Tentang Kesedaran Pelajar Terhadap Cara Hidup Sihat yang Betul” ini mungkin tidak dapat disiapkan dengan sempurna dan dengan jayanya.

Projek ini juga dilakukan dengan kerjasama semua ahli kumpulan dan juga dengan bantuan beberapa kenalan serta pakar professional yang berpengalaman luas dalam skop yang kami ketengahkan. Setelah itu, kami juga akan menyatakan pengalaman pembelajaran yang diperolehi ketika mengendalikan projek ini. Secara jujurnya, ini merupakan projek pertama yang kami jalankan secara berkumpulan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Jika sebelum ini kami lebih cenderung untuk memasuki program yang dianjurkan oleh pihak lain namun pada kali ini kami merasakan sendiri bagaimana rasanya serta pengalaman menganjurkan program sendiri. Sudah tentu ini memberikan satu pengalaman baru bagi kami. Hal ini demikian kerana, segala hal berkaitan dengan projek ini semuanya terletak di bahu kami sendiri. Dari sekecil- kecil tanggungjawab hingga ke sebesar- besar perkara. Pengalaman yang kami peroleh dalam memastikan supaya projek ini berjalan seperti yang dijadualkan dan diharapkan telah memberi satu pengalaman yang susah untuk kami peroleh dari program lainj yang kami sertai.


Seterusnya kami juga menyatakan kelemahan dan kekuatan yang ada pada kumpulan kami semasa menjalankan tugasan ini. Walaupun kami sekumpulan saling mengenali antara satu sama lain, namun cabarannya di sini ialah kami tidak pernah bekerja bersama. Sudah tentu pada mulanya sukar untuk kami mencari rentak untuk bekerja berkumpulan namun selepas beberapa kali melakukan perbincangan kami mula memahami satu sama lain. Perkara tersebut menjadi kekuatan kumpulan kami.

Akhir sekali, kami akan memberikan langkah-langkah dan cadangan untuk memperbaiki dan membuat penambahbaikan terhadapprojek tersebut. Walaupun ini merupakan pertama kali kami membuat projek berkaitan dengan kesihatan, namun kami mahu berkongsi langkah-langkah dan cadangan yang boleh diambil bagi memastikan kelancaran sesuatu program serta mencapai objektif program tersebut.


2. Peristiwa-Peristiwa Sepanjang Menjalankan Projek

Setelah selesai mendapat tugasan yang diberikan oleh pensyarah Pembangunan Diri I, Cik Maharam Mamat, kumpulan kami telah mengadakan satu perbincangan ringkas untuk membincangkan topik dan skop kajian yang akan kami laksanakan bagi projek ini. Perbincangan ringkas ini telah diadakan pada hari tersebut juga iaitu pada tanggal 19 September 2013 di Dewan Kuliah 2, Fakulti Undang-Undang. Perbincangan diadakan dengan kehadiran semua ahli kumpulan tanpa sebarang pengecualian.

Dalam perbincangan tersebut, kami telah memperoleh beberapa idea dan cadangan yang diutarakan oleh ahli-ahli kumpulan. Antara cadangan tersebut adalah sebuah kajian mengenai gaya hidup sihat di kalangan warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kami bercadang untuk menyebarkan soalan ujikaji di sekitar kampus bagi menilai taraf gaya hidup sihat. Cadangan yang kedua ialah untuk mengadakan ‘bake sale’ di mana kami bercadang untuk membakar kek dan kek cawan yang akan dijual di sekitar kampus UKM. Hasil jualan akan disalurkan kepada sebuah rumah anak yatim. Cadangan yang ketiga ialah melakukan misi sukarela di Pusat Perlindungan Gajah, Kuala Gandah di mana kami bercadang untuk membantu dalam aktiviti-aktiviti pengurusan seperti memberi makan, membersihkan kangdang dan memandikan gajah-gajah tersebut. Seterusnya, terdapat juga cadangan untuk mengadakan lawatan ke wad pediatrik di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi melakukan misi sukarela.

Setelah diteliti dan diperhalusi secara keseluruh, kami telah memilih topik Gaya Hidup Sihat sebagai focus kajian kami bagi projek ini. Dalam perbincangan ini kami juga mengagihkan kerja-kerja kepada setiap ahli kumpulan untuk memastikan kerjasama yang diperolehi setiap dari kami adalah adil dan saksama. Setiap dari kami juga diberi tarikh untuk menyiapkan kerja masing-masing bagi memastikan kelancaran tugasan yang diberikan.

Kami sekumpulan telah berbincang untuk melakukan tinjauan bagi projek Pembangunan Diri I kami pada 26 Oktober 2013. Tinjauan ini bertajuk “Gaya Hidup Sihat: Satu Kajian Tentang Kesedaran Pelajar Terhadap Cara Hidup Sihat yang Betul”. Sasaran kami ialah pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Hal ini demikian kerana kami juga merupakan pelajar UKM dan ini akan memudahkan kami untuk melakukan tinjauan. Kawasan pilihan kami ialah di sekitar Fakulti Undang-Undang dan juga kolej kediaman yang berdekatan. Kami memilih FUU kerana kami mempunyai ramai kenalan di sana dan landskapnya yang juga sudah biasa bagi kami.

Bagi tujuan tinjauan ini, kami telah dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan 1 akan melakukan tinjauan di sekitar FUU, manakala Kumpulan 2 bertanggungjawab melakukan tinjauan di kawasan kolej. Bagi Kumpulan 1, yang terdiri daripada 4 orang, kami telah mengedarkan sebanyak 50 helai kertas tinjauan kepada pelajar Fakulti Undang-Undang. Kami juga telah menerangkan kepada mereka tujuan projek kami serta matlamat yang ingin dicapai. Setelah semua kertas tinjauan di isi dan dikumpulkan, Kumpulan 2 telah memulakan tugas mereka di kolej-kolej berdekatan. Kami telah mengedarkan kertas tinjauan serta menemuramah beberapa orang pelajar mengenai cara hidup mereka serta sejauh mana pengetahuan mereka mengenai maksud cara hidup sihat. Semua temuramah adalah dirakamkan.

Selepas melakukan tinjaun dengan cara mengedarkan borang dan menemu ramah para pelajar UKM, kami telah berkumpul sekali lagi untuk mengumpulkan semua borang tinjauan dan juga menonton klip video temuramah. Perjumpaan pada kali ini bertujuan untuk membolehkan kami melakukan andaian mengenai kesedaran dan pengetahuan pelajar mengenai gaya hidup sihat.

Kami telah memeriksa semua borang tinjauan dan telah mengklasifikasikan cara hidup pelajar UKM berdasarkan keputusan yang kami peroleh dari tinjauan yang dilakukan. Kami juga mengambil kira keterangan yang diambil melalui temu ramah bersama penduduk kolej untuk disertakan sekali dalam andaian projek kami. Kumpulan 1 bertanggungjawab untuk memeriksa borang tinjauan yang diisi oleh pelajar Fakulti Undang- Undang manakala Kumpulan 2 akan mengambil keterangan pelajar yang ditemu ramah dan memeriksa borang tinjauan yang telah mereka edarkan sebelum ini.

Kami telah membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan pakar professional berkaitan dengan pendapat mengenai kajian yang kami jalankan. Sasaran pakar professional pilihan kami ialah para doktor ataupun pakar perunding memandangkan kajian kami berkait rapat dengan kesihatan dan juga cara hidup pelajar. Ketua kumpulan kami, Nazrul Farid memikul tanggungjawab untuk membuat temujanji dengan pakar- pakar professional yang dapat membantu kami dalam kajian ini.

Kami telah menghantar pemohonan bagi temujanji kepada tiga orang doktor Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) iaitu Dr. Mohd Rizal Abdul Manaf, Dr. Zarina A. Latiff dan Dr. Tong Seng Fah. Pemohonan tersebut telah dihantar pada 11 November 2013 kepada  ketiga- tiga orang doktor tersebut melalui emel. Kami berharap agar doktor-doktor tersebut dapat meluangkan masa dalam minggu tersebut ataupun minggu hadapan sebelum 20 November 2013. Malangnya bagi kami apabila pada 11 November, Dr. Mohd Rizal  telah memaklumkan bahawa beliau akan menghadiri mesyuarat etika serta mempunyai komitmen kerja yang lain pada tarikg yang dicadangkan. Pada 12 November pula Dr. Zarina A Latiff memaklumkan kepada kami bahawa beliau juga sibuk dengan komitmen kerja di hospital. Senyuman di raut wajah kami mula terukir apabila pada 15 November 2013, Dr. Tong Seng Fah memberitahu kami bahawa beliau boleh meluangkan masa membantu kami pada 19 November selepas jam 2.00 petang. Memandangkan masa tersebut tidak bercanggah dengan jadual kami, kami telah bersetuju untuk berjumpa dengan Dr Tong Seng Fah.

Pada tarikh 19 November 2013, kami sekumpulan telah membuat lawatan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang bertempat di Cheras, Kuala Lumpur. Tujuan lawatan kami adalah untuk berjumpa dengan Dr. Tong Seng Fah, salah seorang doktor yang bertugas di HUKM, bagi menemu ramah beliau mengenai topik kajian kami. Dr. Tong Seng Fah merupakan seorang doktor dari Jabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan UKM.

Kami telah bertolak dari Kampus Bangi sekitar jam 12 tengah hari dan selamat tiba di HUKM sekitar pukul 1 tengah hari. Kami kemudian berdepan dengan sedikit kesulitan ketika mencari pejabat Dr. Tong namun kesulitan ini dapat diketepikan dengan bantuan staf-staf HUKM yang ramah dan berbudi bahasa. Kami tiba di pejabat Dr. Tong Seng Fah tepat untuk temujanji yang telah ditetapkan iaitu pada jam 2 petang. Semasa sesi temu ramah ini, kami telah memperoleh pelbagai informasi dari Dr. Tong mengenai topik kami seperti kesan pengamalan gaya hidup yang kurang sihat kepada fizikal, psikologi, kerohanian dan social seseorang. Sekitar jam 4 petang, temubual kami bersama Dr. Tong Seng Fah telah berakhir dan kami terus berangkat pulang ke Bangi. Kami selamat tiba di kampus Bangi sekitar pukul 6 petang.

Pada 20 November 2013, kami telah berkumpul di foyer Kolej Ungku Omar untuk mengumpul dan menganalisis semua data dan maklumat yang telah kami peroleh dari soalan ujikaji serta hasil daripada temubual bersama Dr. Tong Seng Fah serta untuk membuat persediaan bagi perbentangan pada 21 November 2013.  Perbincangan diadakan pada jam 8:30 malam dengan kehadiran semua ahli kumpulan tanpa sebarang pengecualian. Kami sekumpulan juga telah bersetuju untuk membuat akaun Twitter yang boleh kami gunakan sebagai wahana untuk menyebarkan informasi dan maklumat yang telah kami peroleh sepanjang tempoh kajian kepada warga UKM yang lain. Selepas itu, kami telah bersama- sama membuat slaid persembahan bagi perbentangan yang akan dijalankan pada hari khamis nanti. Di dalam slaid persembahan tersebut kami telah sertakan sekali dengan gambar- gambar sewaktu kami melakukan temujanji di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Kami juga sebulat suara memilih Nazrul Farid, Francis, Nur Athirah serta Tengku Athirah untuk melakukan perbentangan.

Pada 11 Disember 2013, kami telah mengadakan satu perjumpaan yang bertempat di foyer Kolej Ungku Omar. Tujuan perjumpaan ini adalah untuk mengumpul segala data dan maklumat yang telah kami peroleh sepanjang tempoh kajian ini dan menyediakan slaid pembentangan terakhir yang akan dibentangkan di dalam kelas pada 19 Disember 2013. Kami juga telah memilih dua orang ahli kumpulan yang akan melakukan pembentangan tersebut supaya mereka boleh membuat persiapan awal. Ahli-ahli kumpulan yang lain ditanggungjawabkan untuk menyediakan kertas kerja dan refleksi jurnal untuk dihantar pada 31 Disember 2013.



3. Pengalaman Pembelajaraan Yang Dialami

Sepanjang tempoh perlaksanaan kajian ini, pelbagai perkara yang telah kami pelajari. Sebagai contoh, kami telah mempelajari kepentingan bekerjasama dalam sesebuah kumpulan. Tanpa sikap kerjasama, tugasan ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik dan menepati masa. Setiap ahli kumpulan telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya, membolehkan kami melengkapkan tugasan ini tanpa sebarang pertelingkahan dan masalah. Sebagai contoh, kami semua telah berkerjasama semasa membuat tinjauan dan mengedarkan soalan ujikaji. Ini membolehkan kami mendapatkan respons dari seberapa ramai orang yang boleh. Setiap ahli juga telah bertanggungjawab dan menyumbang bahagian masing-masing kepada perlaksanaan projek ini.

Seterusnya, kami juga telah mempelajari kepentingan sikap toleransi dan bertolak ansur. Tanpa toleransi, kumpulan ini tidak akan dapat berfungsi dengan baik kerana akan muncul pertelingkahan setiap kali terdapat perbezaan pendapat di dalam kumpulan. Setiap ahli kumpulan mestilah belajar untuk menerima pendapat dan pandangan orang lain dengan baik dan bersedia menerima kritikan dari orang lain juga. Oleh itu, kami telah mengadakan perbincangan apabila terdapat sebarang perbezaan pendapat supaya kami dapat mencari solusi yang dipersetujui oleh setiap ahli.

Selain itu juga, kami telah mempelajari tentang pengurusan masa. Pengurusan masa yang baik adalah sangat penting dalam melaksanakan sesuatu kerja supaya kerja tersebut dapat diselesaikan dengan sempurna. Kami telah berjaya membahagikan masa kami dengan cekap supaya kami mampu untuk meluangkan masa untuk berbincang, melakukan tinjauan dan melawat HUKM. Kami juga tidak membazir masa atau menangguhkan perlaksaan tugasan ini. Hal ini menyebabkan kami tidak tergesa-gesa untuk menyelesaikannya dan membolehkan kami menghasilkan hasil kerja yang bermutu.


4. Kelemahan

Sepanjang proses perlaksanaan projek ini, kami telah mengenalpasti beberapa kelemahan yang terdapat dalam kumpulan kami. Namun begitu, kelemahan-kelemahan yang dihadapi adalah bersifat minor dan tidak memberi impak yang terlalu memudaratkan kepada projek kami. Kelemahan utama yang kami dapati adalah dari segi masa dan geografi. Hal ini kerana kami telah berhadapan dengan kesukaran untuk mengadakan perbincangan disebabkan oleh jadual kami yang bercanggah. Kami juga menetap di kolej kediaman yang berlainan, sekaligus menyumbang kepada pemasalahan ini.

Ketika memilih skop kajian pada perbincangan awal, kami mendapati terdapat beberapa permasalahan. Antaranya ialah perbezaan pendapat di kalangan ahli kumpulan. Pada awalnya, kumpulan kami kurang bersepakatan kerana masing-masing mempunyai idea sendiri mengenai tajuk dan skop kajian. Walau bagaimanapun, permasalahan ini telah kami ketepikan dengan bertolak ansur dan memilih tajuk yang dipersetujui oleh setiap ahli kumpulan. Kami juga agak bimbang tentang belanjawan yang akan digunakan bagi projek ini, namun kekangan ini dapat diatasi dengan memilih skop yang tidak memerlukan kos yang terlalu banyak.

Permasalahan dan kelemahan yang dapat kami kesan sepanjang melakukan tinjauan ialah kesukaran untuk mendapatkan pelajar yang rela untuk menyertai tinjaun kami. Pada mulanya, kebanyakkannya sukar untuk memberikan kerjasama kepada kami. Contohnya, mereka enggan mengisi boring tinjauan, lambat menyerahkan boring tinjauan serta enggan ditemu ramah. Namun, kami tetap berusaha dan mencuba bagi membetulkan keadaan. Kami mempunyai kenalan yang ramai di FUU dan ini sudah tentu memudahkan kerja-kerja kami kerana mereka juga turut membantu bagi menjayakan tinjauan kami. Selain itu kami juga mempunyai hubungan yang baik dengan rakan- rakan di kolej biarpun berlainan fakulti.

Seterusnya, kelemahan dan permasaalahan yang berlaku ialah setiap pelajar mempunyai pendapat yang berlainan. Perkara ini pada mulanya menyukarkan kami kerana peratusan bagi setiap pendapat yang kami lampirkan di dalam borang tinjaun tersebut adalah seragam dan tidak menunjukkan peningkatan bagi sesetengah pendapat. Walau bagaimanapun setelah mengambil kira sekali pendapat pelajar melalui temu ramah yang dirakam, kami telah mendapat kata sepakat bagi pendapat yang paling banyak disokong oleh pelajar.

Kelemahan yang dapat kami kesan ialah kelewatan kami untuk menghantar pemohonan temujanji. Sepatutnya kami menghantar pemohonan tersebut sebulan atau pun 2 minggu awal dari tarikh yang kami inginkan kerana komitmen kerja sebagai seorang doktor sangat padat. Selain itu kami juga haruslah melakukan banyak temujanji dengan doktor- doktor lain sebagai idea sokongan.

Apabila berjumpa dengan Dr. Tong Seng Fah di HUKM, permasalahan utama yang telah kami hadapi ialah soal pengangkutan dari Bangi ke Cheras. Kelemahan ini dapat diatasi kerana dua daripada ahli kumpulan kami memandu kereta mereka. Terdapat juga kelemahan apabila waktu temuramah bersama Dr. Tong bercanggah dengan jadual beberapa ahli kumpulan kami. Bagaimanapun, kami telah berjumpa dengan pensyarah yang berkaitan dan mendapatkan pelepasan daripadanya. Kami juga telah mengganti kelas yang bercanggah itu.


5. Kekuatan Semasa Membuat Tugasan

Selain mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam kumpulan, kami juga telah mengenalpasti kekuatan-kekuatan kami. Kekuatan yang pertama adalah dari segi komunikasi. Kami sekumpulan tidak mempunyai masalah dalam berkomunikasi antara satu sama lain. Hakikat bahawa kami semua merupakan pelajar dari Fakulti Undang-Undang sedikit sebanyak menyumbang kepada kekuatan ini.

Kelebihan yang seterusnya, kami juga sudah saling mengenali antara satu sama lain. Oleh itu, mudah bagi kami untuk berkerjasama dalam melaksanakan tugasan ini kerana kami sudah masak dan terbiasa dengan tingkahlaku dan perangai setiap daripada ahli kumpulan kami. Ada juga sesetengah daripada kami yang sudah pernah berkerjasama sebelum projek ini. Hal-hal ini semua telah memudahkan situasi dan telah banyak membantu kami dalam melaksanakan tugasan ini dengan memuaskan dalam tempoh waktu yang singkat.

Walaupun tidak semua daripada ahli kami menetap di kolej kediaman yang sama, kami semua berasal dari fakulti yang sama. Ini adalah salah satu kelebihan kami kerana kami masih mampu berkumpul dan berbincang di fakulti biarpun kolej kami jauh. Sekiranya timbul sebarang persoalan atau permasalahan berkaitan dengan tugasan ini, kami mudah untuk berkumpul dan berbincang di fakulti bagi mencari solusinya.


6. Langkah-Langkah Dan Cadangan-Cadangan Penambahbaikan

Langkah-langkah dan cadangan penambaikan yang kami telah sepakati dan persetujui bersama adalah melibatkan kelemahan-kelemahan yang telah kami dapati semasa melaksanakan tugasan ini. Antara kelemahan yang dimaksudkan ialah perbezaan pendapat di antara ahli kumpulan. Kami bersetuju bahawa pemasalahan ini tidak dapat dielak apabila bekerja di dalam kumpulan kerana semua orang mempunyai pendapat yang berlainan. Oleh itu, kami berpendapat bahawa pemasalahan ini boleh diselesaikan sekiranya ahli kumpulan meluangkan sedikit masa untuk berbincang dan mencari jalan tengah di antara mereka supaya perbezaan pendapat tersebut dapat diatasi.

Pemasalahan kedua yang telah kami dapati ialah keengganan pelajar lain untuk menyertai kajian ini dengan mengisi borang ujikaji yang telah kami edarkan dan bersetuju untuk ditemu ramah. Cadangan penambahbaikan bagi pemasalahan ini adalah dengan meminta bantuan dari rakan-rakan kolej dan fakulti sekiranya masih tidak cukup peserta.

Dengan mengambil langkah-langkah yang telah dijelaskan di atas, segala masalah dan kekusutan yang timbul dalam membuat tugasan ini telah dapat diatasi dengan berjaya. Kerjasama antara ahli kumpulan juga adalah sangat penting kerana ia membolehkan kami menjayakan projek ini dengan memuaskan. Walaupun terdapat beberapa halangan yang terpaksa kami hadapi, kami sekumpulan telah berjaya menyelesaikan halangan-halangan tersebut secara berkumpulan.


7. Penutup

Sebagai konklusi kepada refleksi jurnal ini, tugasan kajian kami yang bertajuk Gaya Hidup Sihat: Satu Kajian Tentang Kesedaran Pelajar Terhadap Cara Hidup Sihat yang Betul, telah banyak membantu kami dalam memperbaiki diri kami menjadi seorang pelajar yang mampu bekerja dalam satu kumpulan.

Segala usaha dan penat lelah kami dalam menyelesaikan tugasan ini telah membuahkan hasil apabila ianya telah lengkap dan siap untuk dihantar. Ia merupakan hasil daripada kerjasama setiap ahli kumpulan yang tidak berbelah bahagi. Selain itu, pertolongan dan bimbingan daripada pensyarah juga banyak membantu. Segala ilmu yang diajar dalam waktu kuliah sangat membantu kami dalam menyiapkan tugasan ini mengikut kehendak pensyarah.

Selain itu, bimbingan dan tunjuk ajar yang telah diberikan semasa kami membentangkan progress kerja kami di dalam kelas juga telah banyak membantu kami memperbaiki kerja kami dan telah kami jadikan sebagai garis panduan dalam membuat tugasan yang diberikan.
Sebagai penutup, sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada kesemua pihak yang telah membantu kami dalam melaksanakan kajian mengenai Gaya Hidup Sihat: Satu Kajian Tentang Kesedaran Pelajar Terhadap Cara Hidup Sihat yang Betul.




1 comment:

Drama Lover said...

Thanks for the post, nice share.