Friday, October 7, 2011

Teknologi Maklumat Mendorong Peningkatan Taraf Hidup


KEWUJUDAN TEKNOLOGI MAKLUMAT MENDORONG
KE ARAH PENINGKATAN TARAF HIDUP


NAMA KUMPULAN: MEK QELATE

NAMA ANGGOTA:
Hajarul Falenna Itah Abu Bakar Adli
Anis Afiqah Che Rahim
Norliyana Anas
Saidah Nafisah Abdul Rahman



1.0 Pendahuluan

Pada abad ke – 20, ledakan teknologi maklumat yang berlaku secara global dan membawa kepada tercetusnya revolusi dunia ketiga iaitu teknologi maklumat sebagai peneraju dunia yang akan meningkatkan taraf hidup masyarakat. Penggunaan komputer dan internet sebagai asas di dalam Teknologi Maklumat menjadi keperluan kepada masyarakat. Perkembangan teknologi maklumat banyak membawa perubahan positif kepada masyarakat dan berkait rapat dengan kemajuan sesebuah negara. Kemajuan teknologi maklumat telah membawa kepada peningkatan taraf hidup masyarakat. Sehubungan dengan itu, banyak faedah yang diperolehi hasil daripada kemajuan teknologi maklumat. Justeru itu, tidak hairanlah jika sesebuah negara menyumbangkan belanja yang besar untuk memajukan teknologi maklumat bagi mewujudkan sebuah negara yang maju dan membangun.


1.01 Tujuan kajian

Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengetahui sejauh mana peningkatan taraf hidup dengan kewujudan teknologi maklumat. Skop kajian meliputi pengaruh masyarakat terhadap kewujudan teknologi maklumat, keperluan dan kecenderungan masyarakat terhadap teknologi maklumat, dan juga isu-isu yang berkaitan dengan teknologi maklumat yang sering dipaparkan melalui media massa. Kajian juga memfokuskan kepada peningkatan taraf hidup masyarakat dengan kewujudan teknologi teknologi maklumat.

1.02 Skop kajian

Kajian ini akan memfokuskan kepada pengaruh peningkatan taraf hidup masyarakat dengan penggunaan teknologi maklumat. Masyarakat menjadi model kajian ini kerana mereka adalah pencetus kepada kemajuan teknologi maklumat masa kini.

1.03 Kaedah kajian

Kaedah kajian dijalankan dengan menggunakan resensi kepustakaan yang dilakukan melalui penyelidikan, mencari bahan dan data sama ada primer atau sekunder di perpustakaan. Bahan terdiri daripada buku, jurnal, akhbar, majalah dan juga sumber daripada internet.


2.0 Definisi Teknologi Maklumat

Teknologi maklumat boleh ditakrifkan sebagai suatu kaedah yang digunakan untuk memindah, menyebar dan memaparkan maklumat. Maklumat tersebut wujud dalam pelbagai bentuk sama ada bentuk fizikal, contohnya kertas dan buku, bentuk suara, paparan visual, pergerakan atau dalam bit. Perkembangan teknologi maklumat telah mencapai suatu tahap di mana ia mula menampakkan pengaruh tertentu di dalam kehidupan manusia. Pada asalnya, teknologi ini wujud sebagai satu perantaraan untuk mengedarkan pelbagai jenis maklumat untuk tujuan yang berlainan, contohnya bagi pengiklanan, pemberitahuan, telekomunikasi dan sebagainya. Teknologi juga merupakan medium yang digunakan dengan bantuan sains untuk mencapai taraf hidup yang lebih tinggi. Justeru itu, kemajuan yang dicapai oleh sesebuah negara adalah hasil gabungan ilmu sains dan media teknologi yang jitu kerana ia memiliki hubungkait yang amat besar dalam kehidupan masyarakat hari ini.


3.0 Faktor peningkatan taraf hidup

Kewujudan rangkaian multimedia seperti Projek Koridor Raya Multimedia (MSC) yang dilaksanakan di seluruh dunia memberi peningkatan taraf hidup kepada masyarakat dan mempunyai pelbagai peluang untuk turut memainkan peranan utama dalam memajukan ekonomi digital di seluruh dunia.

Komponen utama pembangunan MSC ialah pelaksanaan, penyepaduan dan peningkatan beberapa aplikasi multimedia termasuk pembangunan aplikasi Kerajaan Elektronik, Sekolah Bestari, Kad Pelbagai Guna Kerajaan dan Telekesihatan serta Kelompok Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), e-Niaga dan Program Keteknousahawan bagi membentuk persekitaran multimedia. Aplikasi MSC tersebut yang menggunakan sistem berasaskan komputer yang komprehensif menyediakan persekitaran multimedia untuk mewujudkan peluang perniagaan yang inovatif bagi penglibatan sektor swasta. Beberapa syarikat terlibat dalam pembangunan dan perluasan aplikasi multimedia tersebut.

Penekanan ke atas pembangunan infrastruktur teknologi maklumat serta penggunaan aplikasi memberi peningkatan kepada taraf hidup yang banyak menyediakan dan memberi peluang pekerjaan yang luas dalam sektor swasta. Di antara sumber pertumbuhan baru dalam segmen utama sektor teknologi maklumat ialah pembangunan kandungan digital, e-dagang, dan bioinformatik. Ini juga meningkatkan taraf hidup sesuatu masyarakat dengan wujudnya kecanggihan teknologi maklumat.

Tumpuan khusus seterusnya diberikan kepada penyediaan dan penggalakan penggunaan meluas e-dagang sebagai kaedah alternatif untuk menjalankan perniagaan. Sementara pihak Kerajaan terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam menggalakkan e-dagang, sektor swasta dan pertubuhan industri khususnya digalakkan meneraju inisiatif tersebut bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Usaha ini akan memanfaatkan persekitaran rangkaian bagi mencapai maklumat mengenai produk dan perkhidmatan dalam talian serta meningkatkan keberkesanan dan kecekapan operasi di sepanjang rantaian bekalan termasuk harga nyata semasa. Inisiatif tersebut dijangka akan memudahkan e-dagang menjadi ekonomi utama dan pada masa yang sama menjana peluang perniagaan baru dan inovatif. Jadi, masyarakat akan diberi peluang untuk memenuhi sektor pekerjaan.


4.0 Pengaruh Teknologi Maklumat terhadap peningkatan taraf hidup

Penggunaan Komputer boleh digunakan untuk membantu pelajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Dengan menggunakan komputer, pelbagai bentuk maklumat boleh disampaikan secara lebih berkesan dan menarik, contohnya penggunaan grafik. Illutrasi berbentuk grafik dan apa jua bentuk gambarajah merupakan cara utama untuk meningkatkan keberkesanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini dapat dijalankan dengan menggunakan Arahan Program, pelajar akan diajar mengikut kadar dan tahap yang boleh diterima oleh mereka. Ini adalah penting supaya pelajar tidak tercicir dan putus asa. Merujuk kepada sistem pendidikan konvensional, kesemua pelajar terpaksa mengikuti sistem yang berlangsung tanpa mengambil kira sama ada mereka dapat mengikuti pelajaran tersebut. Justeru itu, arahan program dapat memberi peluang terutamanya kepada golongan pelajar "lemah" untuk membaiki kelemahan mereka.

Pelajar akan mengikuti Arahan program mengikut langkah-langkah tertentu dalam pembelajaran, langkah tersebut akan diteruskan asalkan pelajar dapat memberi jawapan yang sesuai dan boleh diterima. Namun sekiranya jawapan tersebut tidak memuaskan, pelajar akan dipandu kepada langkah terdahulu dan ditunjukkan bahan rujukan yang berkaitan bagi memperbaiki kelemahan tersebut. Pengajaran sedemikian biasanya tidak dijalankan di dalam kelas yang terdiri daripada ramai pelajar, tambahan pula pelajar Asia yang kurang bertanya akan memburukkan lagi proses pembelajaran pelajar.

Selain itu, pendidikan jarak jauh dibolehkan dengan wujudnya rangkaian pendidikan yang lengkap. Gaya semasa semakin menampakkan masa depan pengajaran dengan cara jarak jauh tetapi ini tidak bermakna pendidikan konvensional perlu dihapuskan sama sekali. Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan pelajar mempelajari kemahiran tertentu yang tidak boleh diperolehi melalui teknologi maklumat, contohnya cara persembahan menggunakan komputer amat berbeza dengan cara konvensional. Namun pelajar tidak harus bergantung sepenuhnya kepada komputer dan melahirkan pelajar yang tidak mampu berinteraksi tanpa komputer.

Sistem pendidikan perlu membekalkan kemahiran interaksi asas pada awal persekolahan dan menggunakan teknologi maklumat pada masa yang sama. Dengan itu, pelajar mempunyai kemahiran lebihan dan pilihan untuk menggunakan teknologi maklumat atau cara konvensional sesuai dengan keadaan tertentu.

Selain itu, teknologi maklumat juga memainkan peranan yang penting dalam memberi kebebasan kepada golongan yang memerlukan bantuan khas, contohnya kewujudan program yang berupaya membaca teks dapat membantu orang buta berkomunikasi tanpa bantuan keluarga, rakan-rakan dan pekerja lain atau mesin rekod suara.

Teknologi maklumat juga memberi peluang sosial kepada golongan kurang upaya melalui penggunaan internet, mirc, yahoo mesengger, serta icq dan lain-lain program. Golongan ini tidak perlu pergi ke kawasan bandar untuk bertemu atau berkenalan. Ini kerana terdapat rangkaian yang dikhaskan untuk mereka berkenalan dan bergaul dengan golongan yang sama di mana sebelum ini tiada saluran yang begini mudah. Selain itu, mesyuarat juga boleh dijalankan pada bila-bila masa asalkan seseorang mempunyai talian telefon, komputer serta modem.

Dengan adanya teknologi maklumat, tele perubatan juga dicipta untuk membantu pesakit dalam keadaan tertentu supaya tidak perlu berjumpa dengan doktor. Ini kerana dalam kebanyakan kes, doktor cuma memeriksa pesakit melalui sintom yang diberitahu oleh pesakit sendiri. Suatu program yang menyeluruh dan sentiasa diperbaiki adalah memadai untuk menggantikan tugas sedemikian. Doktor seharusnya menumpukan perhatian dalam kes yang serius yang mana pesakit tidak dapat memeriksa sebarang sintom.

Namun kesahihan sistem sedemikian akan sentiasa dipertikaikan akibat faktor-faktor keselamatan, kepercayaan, psikologi dan sebagainya. Selain itu, kos pelaksanaan sistem sedemikian juga amat tinggi kerana ia perlu sentiasa dinaik taraf dan dinilai bagi memberikan tahap ketepatan dan kepercayaan yang tinggi. Di samping itu, pelaksanaan sistem sedemikian akan menggugat kesenangan golongan buta huruf untuk mendapatkan rawatan biasa memandangkan sistem tersebut cenderung mengurangkan atau menggantikan peranan klinik. Justeru itu, timbul pendapat bahawa ia hanya sesuai untuk tujuan farmasi sahaja di mana pesakit telah diberikan resit ubat, dan menggunakan tele-perubatan cuma untuk mendapatkan ubat tersebut.

Walau bagaimanapun, penggunaan Smart Card melengkapkan lagi sistem tersebut memandangkan kesemua maklumat peribadi pesakit termasuk sejarah perubatan telah dikodkan. Namun kita tidak harus melihat bidang perubatan ditukarkan kepada sejenis industri. Perubatan sebagai perindustrian akan mencetuskan kesan mental yang buruk terhadap pesakit. Pesakit sebenarnya telah dibebankan dengan persekitaran hospital yang dipenuhi dengan pesakit-pesakit lain. Penggunaan teknologi yang keterlaluan akan menyebabkan hubungan doktor dan pesakit hilang, ini akan menimbulkan keadaan yang tidak menggalakkan dalam kes kesihatan yang serius.

Dengan adanya teknologi maklumat semakin banyak bahan-bahan yang ditukarkan kepada bit-bit dalam komputer yang dinamakan digital. Penukaran ini mencetuskan perubahan yang besar dalam penggunaan ruang di bandar, contohnya masyarakat bandar tidak perlu berada di sesuatu lokasi tetapi dapat merasai situasi tersebut melalui internet. Kes yang sama berlaku terhadap perpustakaan, apabila lebih banyak teks ditukarkan dalam bentuk bit. Mereka tidak perlu sampai ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan rujukan tersebut. Selain itu masyarakat di bandar juga tidak semestinya pergi ke panggung wayang atau muzium untuk melihat filem atau khazanah negara. Kesemua ini memberi impak terhadap perancangan guna tanah kawasan bandar. Kesan langsung daripadanya adalah pengurangan dalam isipadu lalu lintas yang disebabkan oleh aktiviti tersebut. Ini akan mengagihkan tanah bagi tujuan yang lain misalnya kawasan hijau atau taman-taman yang tidak dapat digantikan oleh teknologi maklumat.

Namun begitu, dengan menukarkan bahan-bahan kepada bit-bit, masalah cetak rompak semakin berleluasa. Bahan-bahan yang didigitkan berkemungkinan besar akan menjadi tidak berharga. Ini kerana ia boleh disalin dan dikeluarkan semula berkali-kali, berbeza dengan bahan-bahan sebenar yang akan berkurangan kuantitinya apabila digunakan.

Selain itu juga, dunia maya adalah satu sistem yang mensimulasikan alam nyata (realiti). Alam nyata ditayangkan dalam bentuk imej, dalam dunia yang kelihatan seperti dunia nyata. Kewujudan dunia maya akan membawa perubahan tertentu dalam cara hidup di bandar dan juga di pedalaman. Ia juga dapat memuatkan ciri-ciri idealisme yang tidak terdapat dalam dunia nyata dan merupakan satu ruang yang membolehkan masyarakat membuat pilihan sama ada hendak memilih dunia maya atau dunia nyata untuk menjalankan aktiviti tertentu, contohnya untuk membayar bil-bil elektrik, bil telefon, bayaran pinjaman pendidikan dan seumpanya.

Namun penggunaan dunia maya bukan hanya terhad kepada hiburan sahaja. Ia menjadi medan ujian bagi percubaan pengalaman yang seakan-akan benar, misalnya ujian memandu kenderaan boleh dijalankan di dalam sebuah bilik tanpa menggunakan jalanraya sebenar. Dari segi perancangan pula, model-model boleh dihasilkan untuk menguji kesan perancangan terhadap sesebuah kawasan. Seseorang boleh mencuba pengalaman di dalam kawasan atau tempat tersebut sebelum pelan susun atur diluluskan. Ini akan menambahkan lagi penilaian pelan tersebut.

Dengan wujudnya teknologi maklumat yang membolehkan pemindahan maklumat dengan cepat dan tepat, kebanyakan pekerjaan boleh dijalankan di rumah. Ini bermakna waktu kerja yang lebih bebas serta pendek. Ini kerana seseorang tidak perlu meluangkan masa untuk pergi ke pejabat, bersesak di atas jalanraya, makan di luar dan sebagainya. Kesannya masa rekreasi masyarakat akan bertambah dan ini akan mempengaruhi peningkatan jenis perkhidmatan pada masa depan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Teknologi maklumat juga berkait dengan sektor perdagangan dan perindustrian, contohnya gedung-gedung membeli belah seperti Parkson, Sapura, Alamanda, dan Biz.st telah menawarkan khidmat beli-belah berangkai. Rasionalnya adalah kadar penggunaan internet yang tinggi akan menggalakkan penawaran sedemikian.

Dengan berkembangnya perkhidmatan sedemikian pada masa depan, pengguna tidak perlu melangkah keluar dari rumah untuk membeli-belah. Di samping itu, mereka boleh membeli-belah 24 jam sehari tanpa gangguan kesesakan, cuaca dan jurujual yang membosankan. Selain itu, lokasi juga tidak menjadi masalah kerana perkhidmatan yang dibekalkan akan menjamin pembelian tersebut dijalankan dengan senang. Halangan yang wujud cumalah kos penghantaran yang mahal bagi lokasi yang jauh.

Selain daripada aktiviti membeli-belah, rangkaian teknologi maklumat juga membolehkan aktiviti perbankan dan pasaran dijalankan. Dewasa ini, aktiviti tersebut sentiasa berkait dengan kesesakan di lokasi perletakan bank atau bursa saham. Namun dengan adanya rangkaian maklumat yang membolehkan aktiviti tersebut dijalankan dengan selamat maka penduduk bandar dengan sukarela akan memilih rangkaian tersebut berbanding dengan cara konvensional yang tidak berkesan serta membazirkan masa dan tenaga.
Di samping itu, surat elektronik (email) atau sistem online yang semakin tinggi kadar penggunaannya akan memberi pengaruh terhadap perkhidmatan pos serta sistem pengangkutan yang bersabit dengannya. Ia juga mengurangkan penggunaan kertas dan sampul surat.


5.0 Kesan Teknologi Maklumat

Penggunaan teknologi maklumat dalam kilang, pejabat dan sektor perkhidmatan telah mencetuskan kebimbangan pekerja bahawa tugas mereka akan digantikan oleh peralatan dan juga mesin bagi menggantikan mereka untuk bekerja.

Namun, tiada struktur hubungan yang sistematik di antara penggunaan teknologi maklumat dengan evolusi pekerjaan dalam ekonomi secara keseluruhannya. Justeru itu, teknologi maklumat tidak akan menyebabkan pengangguran walaupun ia secara nyatanya mengurangkan tempoh kerja bersamaan dengan pengeluaran malah ia boleh meningkatkan lagi taraf hidup sesuatu masyarakat dalam pelbagai sektor yang diceburi.


6.0 Isu-Isu Yang Berkaitan Dengan Teknologi Maklumat

Kehadiran teknologi maklumat adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multimedia. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya di alam maya, contohnya cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan yang menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Inilah kelebihan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan.

Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan teknologi maklumat. Pada masa kini, teknologi maklumat dapat dikaitkan dengan ‘e-niaga’ atau ‘e-commerce,’ iaitu cara perniagaan melalui elektronik. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman web mereka beserta alamat mel elektronik (e-mail atau sedang diguna dalam bahasa Melayu sebagai emel). Kini ‘www.sesuatu.com.my’ bukan lagi satu perkara yang baru. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari dalam negara malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui email. Justeru, jelaslah bahawa perkembangan teknologi maklumat membawa kesan yang positif dari aspek perniagaan kepada masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Seterusnya, internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini juga mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat di kalangan pelajar-pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan lagi keadaan. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif di kalangan remaja dan belia. Aktiviti-aktiviti negatif yang lain seperti merokok, menagih dadah, gengsterisme dan vandalisme mula bertapak di sanubari anak-anak.

Selain itu, jika perkembangan teknologi maklumat tidak dikawal implikasi yang lebih buruk boleh melanda sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu perkauman dan agama yang disebarkan dengan niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada sesebuah negara amnya. Anasir-anasir yang jahat boleh menyalurkan isu-isu sensitif tentang hak dan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum bagi mewujudkan huru-hara di dalam negara. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh sesebuah negara dan masyarakat. Oleh itu, kesan negatif teknologi maklumat boleh mengelakkan masyarakat ke kancah perang sivil dan kaum.


7.0 Kesimpulan

Daripada kajian ini dapat dirumuskan bahawa kewujudan teknologi maklumat sememangnya dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat dari segi pendidikan, ekonomi, hiburan, perubatan dan sebagainya. Seiring dengan itu, teknologi maklumat memberi impak yang positif dari segi meningkatkan kualiti hidup, menjalin dan mengeratkan hubungan antara manusia, melindungi manusia serta memajukan pendidikan. Manusia juga perlu terus berusaha untuk memajukan teknologi agar taraf hidup masyarakat semakin meningkat dan berkembang maju.

Di samping itu, perkembangan teknologi maklumat menjadikan komunikasi dan perhubungan antara manusia mudah dan cepat. Penggunaan teknologi membolehkan pelbagai maklumat dan informasi dalam bentuk digital dan boleh disalurkan kepada media massa sepantas kilat. Ciptaan satelit serta alat teknologi seperti telefon bimbit, telefaks, internet dan sebagainya untuk tujuan hiburan dan perhubungan telah berjaya membatasi had masa dan tempat, sekali gus menjimatkan masa, tenaga, dan kos pengguna secara berlipat ganda. Selain itu, hubungan antara manusia dapat dirapatkan walaupun mereka berkomunikasi dari jarak yang jauh. Dalam bidang penyiaran, kejadian dan acara-acara yang berlaku di negara-negara lain boleh ditonton secara langsung melalui satelit dengan berterusan. Hal ini meningkatkan tahap ilmu dan budaya sesuatu masyarakat sejajar dengan perkembangan teknologi.

Justeru itu, teknologi maklumat adalah nadi pembangunan masyarakat dan negara untuk mempertingkatkan taraf hidup yang lebih sempurna. Perkembangan teknologi yang semakin canggih telah mengubah cara hidup manusia dan membantu negara untuk meningkatkan taraf hidup sesebuah masyarakat.

Bibliografi

Abu bakar Abdul Majid, Sarina Othman, 1998. Cabaran Teknologi Maklumat dan Internet: agenda Umat Islam. Kuala Lumpur : Institut Kefahaman Islam Malaysia
Norhashim Abu Samah, Mazenah Youp, Rose alinda Alias, 1996. Pengajaran Bantuan Komputer . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka
Ramli Mohamad. 1998. Teknologi dan Masyarakat; Satu Kaedah Pengembangan Melalui Komunikasi . Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia
Rusli Haji Abdullah, Noraini Che Pa, Noorsalwati Nordin. 2003. Teknologi Maklumat dan Penggunaannya. Petaling Jaya : Prentice Hall
Rose Alinda. 2000.Teknologi dan Sistem Maklumat. [S.I]. Mc Graw Hill (Malaysia)
http://www.ipislam.edu.my/index.php/artikel/read/373/bab-05-mengarusperdanakan-teknologi-maklumat-dan- komunikasi
http://www.penerbit.usm.my/pen2006/SSU/DZUL/telefarmasi.html
http://pengajianam900.forumotion.com/penulisan-esei-secara-berpasukan-teamwork-f19/esei-minggu-ke-4-kemajuan-sains-dan-teknologi-t191.htm