Kajian Lepas
atau Literature Review adalah “a critical analysis of the research conducted on
a particular topic or question in the field of science”. IA merupakan analisa
berupa kritik (membangun maupun menjatuhkan) dari penelitian yang sedang
dilakukan terhadap topik khusus atau pertanyaan terhadap suatu bagian dari
keilmuan. Literature Review bukannya ringkasan terhadap sesebuah kajian lain
tetapi merupakan cerita ilmiah terhadap permasalahan kajian tertentu yang
dilakukan oleh orang lain.
Literature
Review dilakukan untuk:
i. Membentuk
sebuah kerangka teori untuk topik/bidang penelitian
ii.
Menjelaskan definisi, kata kunci dan terminologi
iii. Menentukan
kajian, model, dll yang mendukung topik
iv.
Menentukan lingkup penelitian
v. Topik
penelitian.
Apabila
melakukan Literature Review, tiga perkara utama perlu dicari, iaitu;
i. Katakan
apa yang dikatakan oleh penelitian (teori).
ii. Katakan
bagaimana penelitian dilakukan (metodologi).
iii. Katakan
apa yang hilang/kurang, iaitu lompang (ruang kosong) yang ingin diisi oleh
penelitian anda.
Langkah-Langkah
yang perlu diambil apabila melakukan Literature Review;
Langkah 1:
Membaca tulisan-tulisan ilmiah yang berkaitan
Langkah 2:
Menilai semua tulisan ilmiah yang dibaca
Langkah 3:
Buat ringkasan
Langkah 4:
Gabungkan menjadi satu cerita ilmiah yang lengkap mengenai suatu masalah kajian
berkenaan.
Langkah 1: Membaca Tulisan-Tulisan Ilmiah Yang Berkaitan
Anda perlu
mengenalpasti bahan-bahan yang akan diteliti sebagai kajian lepas. Sumber utama
yang perlu dicari berdasarkan tulisan-tulisan yang diterbitkan dalam jurnal,
laporan penelitian, kajian atau mendapatkan informasi daripada seseorang yang
pakar dalam bidang berkenaan melalui wawancara sama ada secara terus atau
melalui mel elektronik.
Analisis akan
dilakukan terhadap tulisan-tuilisan yang telah dipilih ini akan dilakukan
melalui beberapa tahap bacaan ilmiah iaitu;
Tahap 1: Melihat Struktur Teks
Setelah
menemui sesuatu artikel atau tulisan, anda perlu melihat struktur dan teks
berkenaan seperti daftar isi, abstrak, pengenalan, sub topik yang dibincangkan
dan keseluruhan tulisan berkenaan sama ada sesuai atau tidak dengan apa yang
dicari. Tulisan berkenaan perlu dilihat dari sudut keberkaitan dengan apa yang
ingin anda kaji dalam tulisan anda.
Tahap 2:
Bacaan Secara Terperinci
Apabila
tulisan berkenaan sesuai dengan penelitian anda, anda perlu membacanya dengan
lebih terperinci untuk mencari penelitian tertentu yang akan mendukung
Literature Review anda anda nanti. Teknik ini membolehkan anda untuk
mengenalpastikan kesesuaian bahan berkenaan.
Pada
peringkat ini, anda perlu membaca sebanyak mungkin bahan bacaan untuk memperolehi
sebanyak mungkin maklumat dan pengertian umum mengenai kajian-kajian yang ada
di dalam bidang kajian itu. Anda harus objektif apabila melakukan penelitian.
Pada
peringkat ini, tujuan membaca adalah untuk memberi penilaian dan kritikan
terhadap kajian atau tulisan orang lain yang dipilih. Jadi, anda tidak
sepatutnya hanya memilih kajian atau tulisan yang sependapat dengan apa yang
anda anggap benar sahaja. Anda sepatutnya membaca semua tulisan yang berkaitan
secara telus walaupun anda tidak bersetuju dengan pendapat atau pengangan
penulis tersebut.
Panduan
Membaca Sumber
i.
Skimming: Proses membaca dokumen objek secara cepat sambil
mengambil inti-inti dari setiap perenggan. Peoses atau cara ini dapat membantu
melakukan penelitian dengan lebih cepat dan menyeluruh.
ii.
Paragraph Statement (Statement Utama di dalam suatu perenggan):
Membantu anda untuk memahami apakah statement utama dalam perenggan berkenaan.
iii.
Document Statement (Masalah kajian/Tema Penelitian): Statement
utama dalam dokumen yang dibaca akan dapat membantu anda memahami tema secara
keseluruhan.
Langkah 2: Menilai Semua Tulisan Ilmiah Yang Dibaca
Semasa
menilai sesebuah tulisan yang akan dijadikan rujukan dalam kajian lepas,
beberapa perkara perlu diteliti bagi memastikan kesesuaian sumber berkenaan;
A.
Autoriti Penulis
Apabila
meneliti tulisan yang ingin dijadikan kajian lepas atau Literature Review,
autoriti seseorang penulis juga perlu diambil kira. Anda tidak boleh menjadikan
semua tulisan yang ditemui sebagai bahan rujukan tanpa menyemak kredibiliti
bahan berkenaan termasuk penulisnya.
Tulisan-tulisan
di internet yang anda perolehi tanpa sumber yang boleh dipercayai tidak boleh
dijadikan bahan rujukan untuk tulisan ilmiah. Walau bagaimanapun, sekiranya
tulisan berkenaan anda perolehi di laman web yang boleh dipercayai yang dibina
oleh Jabatan Kerajaan seperti PDRM, Cyber Security, Jabatan Perkhidmatan Awam
(JPA), Kementerian Pendidikan, Jabatan Alam Sekitar dan sebagainya, statistik
atau maklumat berkenaan boleh digunakan.
Anda perlu
tahu Siapa yang melakukan penelitian? Apakah pengarang berkenaan merupakan
orang yang memiliki autoriti dalam bidang tersebut? Apa bukti yang dapat
mendukung hal ini?
B.
Tulisan ilmiah berkualiti
Sumber bacaan
yang digunakan juga perlulah terdiri daripada tulisan ilmiah yang berkualiti.
Ini bermakna, tulisan-tulisan bersifat popular yang disiarkan untuk bacaan umum
seperti di majalah, akhbar dan bahan bacaan popular tidak sesuai untuk
dijadikan rujukan dalam kajian ilmiah.
Anda juga
boleh mendapatkan sumber rujukan yang terdapat dalam Jurnal elektronik dan
database yang disediakan secara dalam talian. Walau bagaimanapun, anda perlu
berhati-hati apabila melakukan carian dalam internet yang menghasilkan laman
sawang tidak dapat disahkan kebolehpercayaannya.
Beberapa
persoalan perlu dijadikan panduan untuk menentukan kualiti sesebuah tulisan;
i.
Dari mana asal tulisan itu? Apakah berasal dari sumber yang valid
misalnya institusi pendidikan?
ii.
Apakah penelitian ini dijadikan rujukan oleh orang lain atau telah
diterima oleh badan editorial misalnya. Apakah jurnal tersebut diterbitkan
dalam mana-mana jurnal?
iii.
Jika berasal dari laman sawang (website), apakah memuat informasi
pengarang, apakah laman sawang berkenaan adalah dari sebuah institusi
pendidikan? Apakah ada tarikh diterbitkan?
C. Kebolehpercayaan
sumber
Kebolehpercayaan
sumber boleh anda teliti berdasarkan beberapa perkara iaitu;
i.
Apa yang dibahaskan oleh kajian itu?
ii.
Apakah kajian ini diterima dalam bidang ini? Bagaimana anda boleh
tahu sekiranya tulisan berkenaan diterima dalam bidang ini? Salah satu cara
untuk menjawab persoalan ini adalah dengan melihat apakah penelitian yang sama
telah digunakan dalam sumber atau tulisan lain apabila membincangkan topik yang
sama, dan adakah sumber rujukan ini telah digunakan secara berterusan dengan
sumber yang lain?
iii.
Apa yang membuatkan tulisan ini dapat dipercayai? Apakah rujukan
dalam tulisan ini juga menggunakan sumber rujukan yang boleh dipercayai juga?
Sesebuah tulisan yang mempunyai bahan rujukan terhadap sumber yang boleh
dipercayai, maka tulisan tersebut secara teorinya boleh dipercayai.
D. Objektif
i.
Apakah tulisan berkenaan terdapat bukti yang bias tentang sesuatu
hal, contohnya, apakah anda akan percaya apabila tulisan berkenaan menyatakan
bahawa asap rokok tidak bahayakan kesihatan?
ii. Apakah statistik yang dinyatakan sesuai dengan penerbitan lain?
Jika tidak, apakah argumen (metode, rancangan penelitian dll) yang dipakai
sebagai pegangan dasar dalam penelitian itu cukup meyakinkan?
iii.
Apakah data yang dikemukakan itu benar? Adakah sumbernya boleh
dipercayai?
D. Mutakhir dan
Terkini
Apabila
menulis tulisan ilmiah, anda perlu memastikan bahawa sumber rujukan yang
digunakan terdiri daripada tulisan yang terkini. Rangkuman tulisan berkenaan
sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 tahun terkebelakang. Jika anda menulis pada
tahun 2010, bahan rujukan yang digunakan meliputi antara tahun 2000 hingga
2010.
Walau
bagaimanapun, terdapat kekecualian terhadap sumber rujukan berkenaan,
antaranya;
i.
Jika menulis tentang sejarah sesuatu perkara atau rentetan
peristiwa
ii.
Menggunakan rujukan asal yang mencetus kepada sesuatu perkara;
contoh teori darwin menjadi asas kepada kajian tentang kejadian alam, merujuk
tulisan hikayat-hikayat lama sebagai teks kajian dan sebagainya.
iii.
Membandingkan perbezaan pendapat antara dua perkara atau tokoh
yang berlaku pada zaman yang berbeza seperti mengkaji pendapat Al-Ghazali dan
tokoh Islam moden tentang sesuatu perkara, mengkaji pemikiran Mahathir Mohamad
dalam Dilema Melayu dan pemikiran masa kini tokoh itu.
iv.
Dan sebab-sebab lain yang dirasakan relevan.
Jadi, anda
perlu meneliti perkara berikut untuk menentukan kekinian sesebuah tulisan;
• Tahun
tulisan tersebut diterbitkan.
• Apakah
mungkin terdapat informasi yang lebih terkini?
• Apakah anda
menemukan tulisan yang lebih baru dan menimbulkan keraguan atau menentang
beberapa penemuan sebelumnya?
• Sudahkah
informasi terkini itu anda peroleh dan teliti kandungannya?
F. Cakupan
- Apakah informasi yang tersedia sudah lengkap? Berdasarkan penelitian anda sejauh ini, apakah informasi berkenaan telahpun mencakupi bidang yang diteliti?
- Berapa ukuran sampel? Apakah sampel ini mencukupi?
- Apakah ada penelitian lebih lanjut yang tidak disebut atau secara sengaja dihilangkan dari penemuan?
Langkah 3: Buat ringkasan
Anda boleh
membuat ringkasan tentang sumber bacaan sambil membaca. Catatan berkenaan perlu
mengikut perkara berikut;
a.
Apakah isi penting, teori, masalah utama yang diangkat dalam
tulisan berkenaan?
b.
Rangkumkan isi penting yang diajukan pengarang.
c.
Catatkan secara terperinci sumber rujukan yang digunakan pengarang
ini termasuk halaman yang dirujuk yang anda anggap mungkin berguna dalam
Literature Review.
d.
Pastikan anda memiliki semua maklumat bibliografi seperti
pengarang, tahun terbitan, judul buku, penerbit, halaman dll.
e.
Catat bagaimana pengarang menggunakan sumber asal rujukannya. Jika
anda meniru atau menyalin kata-kata pengarang asal secara langsung, anda perlu
pastikan anda menulisnya dalam tanda petik dan menyebut halamannya. [rujuk bagaimana
cara menulis petikan yang betul].
f.
Apa tujuan pengarang; baik yang tersurat mahupun tersirat?
g.
Apa kesimpulan yang dibuat oleh pengarang? Apa yang disimpulkan
atau penemuan dalam kajian ini?
h. Tulis juga pendapat anda tentang bacaan tersebut. Hal ini akan
sangat berguna apabila anda melihat semula catatan tersebut atau menggunakannya
semasa menulis nanti.
Secara lebih
mudah, senarai yang perlu anda catatkan pada bahagian ini adalah seperti
berikut;
i. Penulis
ii. Tahun
iii. Judul
iv. Sumber
(Nama Jurnal atau Prosiding)
v. Tujuan
Penelitian
vi. Hipotesis
kajian
vii. Metode
Penelitian, Material, reka bentuk eksperimen yang dijalankan
viii.
Data/Hasil
ix.
Kesimpulan/Diskusi
Langkah 4: Gabungkan menjadi satu cerita ilmiah yang lengkap dalam bentuk tulisan
Menulis
Literature Review
Gunakan
rangkuman dan catatan untuk mengidentifikasikan hubungan dan kaitan antara
pelbagai penelitian yang telah anda lakukan.
Anda
seharusnya boleh menentukan:
a.
Persamaan dan perbezaan antara ramai pengarang dan penelitian yang
telah mereka lakukan
b.
Penelitian yang mana yang saling menyokong dan menentang?
c.
Apa persoalan utama yang masih belum terjawab?
d.
Arah penelitian yang mungkin boleh dilakukan kajian lebih lanjut?
Merangkum/menggabungkan
semua tulisan
Untuk
merangkumkan semua penelitian ini yang akhirnya menjadi kajian lepas atau
literature review, anda perlu membuat penggelompokan (kategorikan) semua
penelitian yang mirip dan boleh digandingkan secara bersama contohnya maklumat
yang sama atau berbeza. Salah satu teknik yang sangat berguna untuk diamalkan
bagi tujuan ini adalah dengan menggunakan peta minda yang akan menyusun
penelitian ke dalam bentuk isi utama dalam setiap tema.
Tips: Menulis
Literature Review:
i.
Paraphrasing
ii.
Rujukan/bibliografi
iii. Citing
Parafrasa
(Paraphrasing)
Parafrasa
adalah menulis semula apa yang ditulis penulis lain (dengan menggunakan ayat
sendiri) tanpa menghilangkan maksudnya. Tulisan ini kelihatan berbeza dengan
tulisan asal kerana ayatnya telah diubahsuai, tetapi masih lagi mempunyai
maksud yang sama.
Cara ini
dapat menghindarkan kita untuk mengutip statement seseorang secara langsung
seperti apa yang diungkapkan oleh orang itu. walau bagaimanapun, penulisan yang
telah dilakukan parafrasa masih lagi memerlukan anda memasukkan sumber rujukan
sebagai tanda anda mengiktiraf tulisan asal dan mengelakkan daripada terjebak
dalam plagiat.
Contoh
Paraphrasing - one statement
Dokumen asli:
bersumberkan Majlis Keselamatan Jalan Raya, 2010.
Maklumat lengkap tidak dinyatakan kerana contoh ini hanya melibatkan cara
menulis parafrasa sahaja.
Cuai dikenal
pasti sebagai penyebab utama kemalangan maut di jalan raya sekali gus menjadi
penyumbang kepada peningkatan angka kematian di negeri ini. Lebih
membimbangkan, faktor tersebut kebanyakannya berpunca daripada pengguna jalan
raya sendiri yang bersikap sambil lewa terhadap aspek keselamatan. Sikap cuai
pemandu serta tidak mengambil berat tentang keselamatan serta pematuhan
undang-undang jalan raya dikenal pasti sebagai punca utama bilangan nyawa
terkorban di negara ini terus meningkat. Kajian mendapati sikap cuai pemandu
untuk memandu melebihi had laju serta tidak memberhentikan kenderaan di lampu
isyarat merupakan sebab utama berlakunya kemalangan maut di negera kita.
Setelah
diparafrasa:
Berdasarkan
kajian, kemalangan maut yang berlaku di negara ini berpunca daripada kecuaian
pengguna jalan raya akibat gagal mematuhi aspek keselamatan dan undang-undang.
Punca utama kemalangan maut berkenaan adalah memandu melebihi had laju dan
tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat menjadikan jumlah nyawa yang
terkorban dalam kemalangan di negara ini terus meningkat (Majlis Keselamatan
Jalan Raya, 2010).
Contoh
Paraphrasing – multiple statement
Dokumen asli
1: Tulisan Zuhayati Yazid, 2006. Maklumat lengkap
tidak dinyatakan kerana contoh ini hanya melibatkan cara menulis parafrasa
sahaja.
Anak-anak
yang tidak mempunyai didikan agama lumrahnya lahir daripada keluarga yang tidak
mementingkan agama. Ini terjadi kerana keluarga itu sendiri tidak memahami
keperluan agama. Keadaan menjadi lebih buruk apabila ketua keluarga lebih
menumpukan perhatian dan menghabiskan tenaga untuk mencari nafkah. Akibat
daripada sikap ibu bapa seperti ini, anak-anak akan lebih cenderung dipengaruhi
oleh orang sekeliling seperti teman-teman sebaya dan sebagainya
Dokumen asli
2: Fatimah Yusoff, 2008. Maklumat lengkap tidak
dinyatakan kerana contoh ini hanya melibatkan cara menulis parafrasa
sahaja.
Institusi
keluarga penting untuk membantu mengelakkan para remaja dari terjebak dengan
gejala sosial. Paling penting perlu dititik beratkan tentang agama. Adanya asas
agama yang teguh, remaja tidak akan sewenang-wenangnya terjerumus ke arah
perkara yang tidak baik. Dalam hal ini peranan ibu bapa sangat penting sebagai
contoh kepada anak-anak
Setelah
Parafrasa:
Ibu bapa
sangat berperanan dan mempengaruhi kehidupan anak-anak melalui institusi
keluarga yang kukuh. Asas agama yang teguh dalam sesebuah keluarga menjadi
benteng kepada para remaja agar tidak akan terjebak dalam gejala sosial.
Anak-anak yang tidak mempunyai didikan agama kebiasaannya lahir dalam keluarga
yang tidak memahami dan mementingkan agama. Ketua keluarga pula sibuk mencari
nafkah keluarga sehingga tidak dapat meluangkan lebih banyak masa mendampingi
anak remaja. Ini menyebabkan anak-anak akan lebih cenderung dipengaruhi oleh orang
sekeliling terutama rakan sebaya (Zuhayati Yazid, 2006; Fatimah Yusoff, 2008).
Mengutip
(Citing)
Mengutip
tulisan atau lebih dikenali sebagai Citing merupakan kegiatan mencantumkan
beberapa tulisan yang ditulis oleh penulis lain dalam buku, jurnal, prosiding
seminar, internet dan sebagainya, terhadap pernyataan orang lain secara
langsung. Pernyataan berkenaan kemudiannya akan diparafrasa mengikut
kesesuaian.
Contoh:
Abdullah
Mohamad Said (1999) yang memetik maksud dalam Kamus Webster menjelaskan tentang
makna alam sekitar sebagai kesemua faktor dan keadaan fizikal, sosial dan
kebudayaan yang mempengaruhi kewujudan dan perkembangan organisma. Royston
(1980) menjelaskan bahawa alam sekitar terdiri daripada faktor-faktor fizikal,
ekonomi, teknologi, politik, sosial dan kebudayaan. Ahli ekologi berpendapat
alam sekitar merupakan kesemua keadaan dan pengaruh luaran yang memberi kesan
kepada kehidupan dan perkembangan organisma (Abdullah Mohamad Said, 1999).
Rujukan/bibliografi
Memasukkan
penerbitan yang dijadikan rujukan dalam kajian mengikut cara penulisan yang
betul.
Rujukan untuk
Buku sila rujuk Cara
Tulis Rujukan dan Bibliografi Gaya UKM
Rujukan untuk
Makalah dalam Jurnal dan prosiding sila rujuk Menulis
Rujukan Makalah dalam Jurnal
Rujukan untuk
sumber Internet sila rujuk Gaya
UKM: Rujukan Tidak Terbit.
Literature
Review Yang Baik
Anda dapat
menghasilkan literature review yang baik apabila mampu menjawab
persoalan-persoalan berikut;
1. Pilihan
literatur
• Sudahkan
anda membaca dengan cukup luas berkaitan kajian tersebut?
• Apakah
tujuan dari review telah dikenalpasti dengan jelas?
• Apakah
tulisan anda mengandungi definisi yang jelas dan mengklasifikasi batasan
daripada bacaan berkenaan dengan penelitian yang bakal anda jalankan?
• Apakah
review menumpukan kepada perkembangan mutakhir topik itu?
• Apakah
review menggunakan sumber utama?
2. Kritikan
daripada literatur
• Apakah
terdapat aliran yang logik dari penulisan anda?
• Apakah
struktur review anda telah dinyatakan dengan jelas?
• Sudahkah
anda membuktikan bahawa anda telah membaca dengan luas, sekaligus fokuskan
kepada topik penelitian yang spesifik?
• Sudahkah
anda fokuskan kepada masalah yang paling relevan?
3.
Interpretasi
• Sudahkah
anda fokuskan dan membuat penilaian terhadap apa yang telah dibaca?
• Apakah
masih ada ruang yang lebar belum terisi dalam penelitian tersebut?
• Sudahkah
anda menggunakan hasil penilitian itu untuk membuat interpretasi anda terhadap
Kajian itu?
Anda boleh
melihat How
to review literature and write literature review? yang ditulis Dr. Supyan,
lengkap dengan video berkaitan, dalam Bahasa Inggeris. Tulisan beliau akan
melengkapkan lagi bacaan anda di entri ini.
Contoh
literature riview
Berikut saya
salin dan tampal literature riview yang ditulis dalam sebuah artikel yang
diterbitkan dalam Jurnal Pendidikan 31 (2006) 123-141. Tulisan ini merupakan
artikel yang ditulis oleh Norlia Abd. Aziz, Subahan Meerah, Lilia Halim dan
Kamisah Osman yang boleh juga diperolehi sepenuhnya secara online berjudul Hubungan
Antara Motivasi, Gaya Pembelajaran Dengan Pencapaian Matematik Tambahan Pelajar
Tingkatan.
Contoh literature
riview:
Kajian yang
dijalankan oleh Abdul Razak dan Rashidi (1997) adalah untuk menentukan hubungan
antara gaya pembelajaran dengan pencapaian Sains dan Matematik sekolah menengah
rendah. Dalam kajian berkenaan, tiga gaya pembelajaran telah dikemukakan iaitu
gaya motivasi, gaya mendalam dan gaya permukaan dari Inventori Gaya
Pembelajaran Selmes (1987). Sampel kajian terdiri daripada 539 orang pelajar
Tingkatan 4 di 20 buah sekolah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Dapatan
kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara ketiga-tiga
gaya pembelajaran. Gaya motivasi mendalam mempunyai hubungan yang positif
dengan pencapaian Sains dan Matematik, sementara gaya permukaan mempunyai
hubungan yang negatif. Ini bermakna gaya motivasi dan gaya mendalam dapat
meningkatkan pencapaian akademik. Asiah (1999) telah menjalankan kajian untuk
mengenal pasti tahap pencapaian akademik dan gaya pembelajaran di kalangan
pelajar Tingkatan 4, Sekolah Menengah Teknik Juasseh, Kuala Pilah, Negeri
Sembilan. Instrumen yang digunakan ialah Learning Style Inventory Dunn, Dunn
and Price (1985). Sampel kajian seramai 97 orang pelajar Tingkatan 4 dari aliran
teknik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tiada korelasi antara pencapaian
akademik dengan gaya pembelajaran pelajar.
Kajian
Tumerah (1996) menggunakan Grasha-Reichman Learning Style Inventory menunjukkan
bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara gaya pembelajaran dengan etnik.
Etnik Melayu menunjukkan kecenderungan memilih gaya pembelajaran yang
melibatkan aktiviti kumpulan. Sementara, etnik Cina menunjukkan kecenderungan
yang tidak dominan dalam semua gaya pembelajaraan. Sampel kajian terdiri daripada
171 orang pelajar Semester 5 kursus Diploma Perguruan Malaysia di sebuah maktab
perguruan di Sarawak. Misnan (1999) dalam kajiannya untuk melihat hubungan
antara gaya pembelajaran dengan pencapaian dalam mata pelajaran bahasa Arab
telah menggunakan Inventori Pembelajaran di Sekolah (Selmes 1987). Misnan telah
mengubah suai inventori tersebut kepada empat gaya pembelajaran.
Empat gaya
pembelajaran itu ialah gaya hafalan, gaya perbincangan, gaya latihan dan gaya
motivasi. Sampel kajian terdiri daripada 200 pelajar Tingkatan 4 di enam buah
sekolah di negeri Perak. Dapatan kajian mendapati gaya pembelajaran yang
diamalkan oleh pelajar cemerlang adalah gaya motivasi dan gaya hafalan.
Sementara, pelajar lemah mengamalkan gaya motivasi dan perbincangan semasa
mempelajari Bahasa Arab.
Dapatan
kajian oleh Norihan (2001) mendapati tidak wujud perbezaan gaya pembelajaran
antara pelajar pandai, sederhana dan lemah dalam matematik. Dapatan ini memberi
implikasi bahawa kesan positif gaya pembelajaran adalah sama ke atas semua
pelajar, walaupun mereka mempunyai keupayaan yang berbeza. Selain dalam negara,
kajian gaya pembelajaran juga banyak dilakukan di luar negara. Misalnya,
Geiser-William (1999) telah membuat kajian terhadap pelajar-pelajar pinggir
bandar gred 18 matematik. Beliau mendapati pelajar yang mengamalkan learning-
style- responsive dalam strategi pembelajaran Matematik telah menunjukkan
kesignifikan yang tinggi dalam pencapaian dan sikap mereka berbanding dengan
pelajar yang menggunakan gaya tradisional.
Kajian
Mcgowan (1998) terhadap 68 orang pelajar Afrika Amerika dari Fakulti Teknologi
Perindustrian di Universiti Mississippi menunjukkan bahawa tidak terdapat
hubungan gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik. Dapatan yang sama juga
diperoleh oleh Cavanagh dan Stephen (1995) dalam kajiannya ke atas 192 pelajar
jururawat menggunakan Inventori Gaya Pembelajaran Kolb. Beliau mendapati bahawa
tiada hubungan yang signifikan antara gaya pembelajaran dengan pencapaian.
Kajian yang
dijalankan oleh Sadler-Smith (1996) menunjukkan terdapat perbezaan dalam gaya
pembelajaran antara pelajar lelaki dan perempuan. Kajian ini bertujuan untuk
melihat kesan jantina, umur dan program belajar dalam pendekatan pembelajaran.
Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah Revised Approaches to Studying
Inventory (RASI). Hasil kajian ini mendapati pelajar lelaki mengamalkan gaya
mendalam berbanding pelajar perempuan yang lebih suka kepada gaya pembelajaran
permukaan.
Kajian
tentang gaya pembelajaran dengan jantina juga telah dijalankan oleh Watson
(1997) terhadap 147 orang pelajar. Hasil kajian menunjukkan bahawa tidak
terdapat perbezaan gaya pembelajaran mengikut jantina. Pelajar lelaki dan
perempuan sama-sama cenderung kepada gaya pembelajaran konkrit dan juga
kombinasi gaya pembelajaran konkrit dan abstrak.
Kajian oleh
Engelbrecht dan Natzel (1997) menunjukkan terdapat perbezaan gaya kognitif
antara pelajar kulit hitam Afrika-Amerika dan Afrika Selatan. Instrumen yang
digunakan ialah Children’s Embedded Figures Test (GEFT) untuk menentukan gaya
kognitif bagi 100 orang pelajar kulit hitam Afrika-Amerika dan 100 orang
pelajar kulit hitam Afrika Selatan Gred 4 dan 5. Dapatan kajian menunjukkan
bahawa pelajar kulit hitam Afrika-Amerika lebih suka menggunakan gaya field
independent manakala pelajar Afrika Selatan pula lebih suka kepada gaya field
dependent.
Richardson
dan Fergus (1993) telah menjalankan kajian di dua buah sekolah menengah di
Monstserrat, Caribbean untuk mengenal pasti gaya pembelajaran bagi dua kumpulan
yang berbeza kebolehan, iaitu A dan B. Sampel kajian terdiri daripada 114 orang
pelajar Gred 9 yang berumur 14 tahun. Alat kajian yang digunakan ialah soal
selidik Inventory of Processes yang merangkumi empat skala gaya pembelajaran,
iaitu proses mendalam, proses menghuraikan, mempertahankan fakta dan belajar
secara tersusun. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelajar dari kumpulan A yang
berkebolehan tinggi memperolehi skor yang tinggi dalam proses belajar secara
mendalam, belajar secara tersusun dan mempertahankan fakta berbanding dengan
pelajar kumpulan B yang kurang berkebolehan.
Secara
keseluruhan, kajian lepas melaporkan bahawa tidak ada perbezaan gaya
pembelajaran mengikut etnik dan jantina. Pada masa yang sama, hubungan positif
antara gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik juga tidak konsisten. Walau
bagaimanapun, kajian lepas menunjukkan bahawa terdapat hubungan antara gaya
pembelajaran dengan motivasi, yakni gaya pembelajaran mendalam mempunyai kaitan
dengan motivasi dalaman.
Sekian dahulu
untuk entri kali ini. Entri seterusnya akan memberi anda informasi tentang
aspek lain dalam penulisan. Selamat menulis.
18 comments:
salam. gaya penulisan literature review anda banyak membantu saya. terima kasih. teruskan menulis dengan memberi banyak informasi ilmiah untuk pelajar Master dan phD seperti kami.
cik maharam, nak tanya yang citing tu, tahun dalam kurungan tu merujuk kepada tahun penerbitan ke?
CheQnono: Sama-sama kasih. Alhamdulillah andai membantu.
Pemburu mawar hitam: Ya. tahun tulisan berkenaan diterbitkan
owh..ok..tq
saya dapati ada sesetengah meletakkan nama, tahun dan judul. sebelum membuat ulasan.
juga terdapat ulasan yang mengkritik. adakah ia menjadi kemestian dalam literature review.
aslkm
saya dapat ada sesetengah ulasan meletakkan nama, tahun dan tajuk. dan ada yang tidak. bagaimana tu?
juga dapati ada yang mengkritik menyebut kajian itu tidak menyentuh itu dan ini.
terima kasih..sangat membantu...=)
assalamualaikum, terima kasih krn penulisan anda banyak membantu saya membuat penulisan. :)
sangat2 membantu buat naz yg sedang keliru untuk membuat literature review skrg. Thnx for the info!
assalamualaikum.
erm, bagaimana pula literature review tentang novel ?
bagaimana cara utk mewujudkan satu research question yg menarik ?
salam..saya agak kabur tentang penulisan kajian literatur. jika boleh dijelaskan serba sedikit bagaimana pendahuluan, isi-isi serta penutup yang perlu saya tulis.tajuk kajian saya adalah.." faktor-faktor penyebab syarikat mengambil keputusan untuk melakukan penyumberan luar terhadap aktiviti logistik".
salam..saya agak kabur tentang gaya penulisan kajian literatur.. bagaimana untuk saya menulis pendahuluan, memasukkan isi-isi dan juga penutup di dalam kajian literatur saya? tajuk kajian saya adalah "faktor2 penyebab syarikat melakukan penyumberan luar terhadap aktiviti logistik syarikat kepada syarikat pembekal logistik"
literature review sama x dgn sintesis literatur. sebab sy br dpt assignment utk tulis sintesis kiteratur dlm btk jadual oleh lecturer. and kena siapkan within 2 weeks . sy masih blur utk tulis
tq..
tq..
terima kasih, perkongsian yang bermanfaat. semoga ditambah kefahaman sedia ada. :)
Terima kasih atas perkongsian ilmu di blog ini. Semoga anda sentiasa diberkati Allah S.W.T .
Assalamualaikum wbt Tuan (DR) Maharam,
setelah sekian lama mencari petua dan tips menulis LR,akhirnya saya terjumpa blog tuan(DR)..ianya telah menerangi kegelapan saya yang ingin mula menulis LR utk kajian phd saya.
Terima kasih byk2 dgn penerangan yang ringkas tp padat. Hanya Allah yg dpt membalas perkongsian ilmu saudara..yg menerangi kegelapan org lain, yg memimpin orang lain yg teraba..Masyaallah byk nya pahala saudara.
Semoga Allah rahmati,berkati dan mudahkan segala urusan kesihatan,rezeki harta dan lain2 yg saudara sedang usahakan.Amiin
Post a Comment