Saturday, November 20, 2010

Cara Mudah Mencari Rujukan di Internet

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Ramai juga editor 100 Penulis terdiri daripada pelajar di pusat pengajian tinggi. Sama ada anda belajar di dalam negara atau luar negara, anda perlu menyiapkan banyak tugasan setiap semester. Ramai pelajar mengeluh dengan perkara ini walaupun mereka sedar semua tugasan berkenaan sangat berguna, terutama apabila memasuki dunia pekerjaan nanti.

Faktor utama mengapa ramai pelajar tidak begitu suka menyiapkan tugasan berbentuk penulisan kerana kesukaran untuk mendapatkan bahan rujukan yang sesuai. Paling malang sebenarnya, ramai pelajar bukan sahaja tidak tahu cara untuk mencari maklumat yang dikehendaki walaupun dunia sudah begitu sempit dan berada di hujung jari, tetapi mereka juga tidak tahu untuk menilai setiap maklumat yang mereka perolehi.

Mengapa maklumat perlu dinilai kesesuaiannya? Jawapannya mudah sahaja; untuk memastikan bahawa maklumat berkenaan sahih, diperakukan dan mempunyai kredibiliti. Maklumat yang sebegini akan memastikan tugasan atau tulisan yang akan anda hasilkan juga boleh dipercayai. Jadi bagaimana mahu menilai maklumat berkenaan? Ada beberapa cara untuk menilai maklumat, iaitu berdasarkan;

A. Autoriti Penulis
B. Tulisan ilmiah berkualiti
C. Kebolehpercayaan sumber
D. Objektif
E. Mutakhir dan Terkini
F. Cakupan


Anda boleh membaca perincian berkaitan Menilai Semua Tulisan Ilmiah Yang Dibaca di blog saya dalam entri yang berjudul Menulis Kajian Lepas atau Literature Review. Perkara utama yang perlu anda takluk adalah mengenal sumber rujukan yang bernilai. Apabila anda sudah tahu menilai setiap maklumat yang diperoleh, lebih mudah bagi anda mengetahui di mana untuk mendapatkannya.

Entri ini hanya memberi anda 3 cara yang mudah sahaja untuk mencari maklumat. Masih banyak cara lain boleh anda lakukan selain 3 cara ini. Namun begitu, sekiranya anda menggunakan tiga cara ini sahajapun, anda mampu mendapatkan maklumat dan sumber rujukan yang boleh dipercayai. Ketiga-tiga cara ini juga hanya menggunakan aplikasi di google.com sahaja tanpa memerlukan anda mendapatkan apa-apa program tambahan.

Cara 1: Gunakan Tanda Petik (“ “) Semasa Mencari Maklumat

Ramai pelajar saya terlupa untuk letakkan tanda petik setiap kali mencari maklumat secara maya. Penggunaan tanda petik ini sangat penting terutama apabila melibatkan penggunaan perkataan yang berangkai seperti “kemalangan jalan raya”. Tanpa tanda petik, enjin carian akan mencari perkataan kemalangan, jalan dan raya secara berasingan.


Pilihlah maklumat dari laman web yang boleh dipercayai sahaja. Abaikan sumber dan maklumat yang diperolehi dari laman web yang diragui dan blog persendirian yang tidak diketahui kesahihannya.



Kemahiran meggunakan kaedah carian BOOLEAN ini dapat membantu anda mencari maklumat secara tepat. Terdapat beberapa kaedah lain lagi yang boleh digunakan seperti penggunaan AND dan OR, namun sekiranya anda menggunakan Tanda Petik (“ “) di enjin carian sahajapun sudah banyak maklumat mampu anda perolehi.

Cara 2: Menggunakan Google Scholar

Apabila menggunakan Google Scholar, anda akan memperolehi banyak maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai seperti tesis, latihan ilmiah, penyelidikan, artikel dari jurnal dan sebagainya. Terdapat banyak artikel, hasil penyelidikan, dan tesis yang diperolehi dengan cara ini boleh anda muat turun dan simpan secara salinan lembut (soft copy).

Caranya, klik pada Google Scholar, kemudian buat carian seperti biasa.



Perhatikan sumber maklumat berkenaan yang disumbangkan dari IPTA yang diiktiraf.



Cara 3: Membaca Buku Secara Online

Anda juga boleh membaca atau memperolehi sumber rujukan daripada buku secara online. Semua maklumat yang diperlukan untuk dicatat pada bahagian rujukan seperti tahun terbit, penerbit, tempat terbit dan sebagainya. Caranya: klik pada "books" atau "buku" yang ada pada menu google anda sebelum melakukan carian google seperti biasa.



Buku online ini sama seperti buku asal yang berada di pasaran. Bezanya, buku online dibaca secara atas talian melalui capaian internet. Walau bagaimanapun, buku ini tidak boleh disimpan dalam bentuk salinan lembut, tetapi anda boleh mendaftar menjadi ahli dengan Google dan simpan dalam fail sendiri untuk dibaca secara online pada hari yang lain.



Bagaimana? Membantu anda untuk mendapatkan rujukan bila nak siapkan tugasan tak? Panduan ini tidak begitu sesuai untuk anda yang sangat mahir dalam dunia Teknologi Maklumat, jadi sila abaikan. Ia hanya sesuai bagi golongan pelajar yang fobia dan tidak begitu gemar untuk eksploitasi kelebihan internet.

Saya berharap, semua tugasan yang dihantar untuk pemarkahan akan lebih tinggi mutunya apabila menggunakan sumber rujukan yang bermutu.

9 comments:

azura said...

salam, puan saya dah cuba google books tapi banyak isi kandungan yang tidak disiarkan walaupun telah mendaftar menjadi ahli.

Anonymous said...

Salam. Untuk pengetahuan Azura, memang banyak isi kandungan yang tidak disiarkan dalam Google Scholar disebabkan oleh kekangan hakmilik/hakcipta si penulis buku tersebut.

maharam said...

Azura: halaman yang tidak dipaparkan itu adalah halaman yang kandungannya tidak berkaitan dengan apa yang kita cari. harap maklum.

emi nizam said...

tq puan...slama 3 tahun dgree 1 tahun kpli n baru d sem 2 masters d ukm sini abru la perasan ada panduan yg ditulis cam ni..kalu la tau sejak dulu ada sure x susah saya carik bahan...hehe..nway puan fak mana ek? kot2 kenal mana tau..huhuhu..thanx anyway.

Anonymous said...

tq, atas kerjasama saya dapat memperbaiki cara membuat rujukan dan sumber bagi pengajian master, memang betul tanpa rujukan yang sah dan berkualiti markah akan kurang,
so panduan pihak tuan dapat membantu kepada pelajar yang tidak mahir komputer, semuga tuan mendapat pahala dan rahmat kerana maklumat ini, tq

Mohd Khoddri said...

Apakah yang dimaksudkan dengan pencarian menggunakan kaedah Boolean
dan berikan tiga (3) perkataan yang dikenali sebagai Boolean Operator.

Mohd Khoddri said...

Apakah yang dimaksudkan dengan pencarian menggunakan kaedah Boolean
dan berikan tiga (3) perkataan yang dikenali sebagai Boolean Operator.

نور فرحانا بنت محمد said...

Alhamdulillah, terima kasih atas ilmunya..^_^

Anonymous said...

assalamualaikum, mohon untk copy untuk bacaan saya . terima kasih