Thursday, February 4, 2010

Contoh Drama Khas

Drama Radio Klasik Nasional;

Tajuk : SEORANG ANAK PENGUKIR KEMERDEKAAN

Tulisan : Azizi Hj Abdullah, Kulim Kedah
Penerbit ; Zuraidah Mohd. Noh
Pelakon : Borhan 80an= bapa
Tamam 50an =cucu
Mawar 50an =cucu Borhan, adik Tamam
Johan 40an =cucu Borhan, adik bungsu
Milah 30 kekasih Johan.


Teknik Penerbitan;
1. Bunyi kapal terbang mendarat
2. Bunyi kereta dari jauh. Berhenti.
3. Pintu kereta di buka, ditutup
4. Sebuah lagu patriotik
5. Motosikal dari jauh. Dekat.
6. Pintu dibuka
7. Injin kereta dihidupkan beberapa kali
8. Brek kereta mengejut.
9. Ombak di pantai
10. Laungan merdeka
11. Bunyi itik ayam,angsa,kambing dll.
12. Bunyi seperti kayu dipatah.
13. Letupan senapang

INTRO:
GRAM: MUZIK PEMBUKAAN. PILIHAN PENERBIT
JH: Merdeka! Apakah yang lebih bermaruah selain dari kemerdekaan? Ya, kemerdekaan adalah segenggam maruah dari himpunan darah daging sebatang tubuh. Sempena hari Kemerdekaan Negara 1 Malaysia tercinta, Klasik Nasional mempersembahkan sebuah drama khas berjodol: SEORANG CUCU PENGUKIR KEMERDEKAAN hasil tulisan Azizi Hj Abdullah, Kulim Kedah.

GRAM: MUSIK. PILIHAN PENERBIT.
BUNYI KAPAL TERBANG MENDARAT.
BUNYI KERETA DARI JAUH. DEKAT DAN BERHENTI.
KESAN BUNYI; PINTU KERETA DI BUKA DAN DI TUTUP.


JOHAN: (SEDIH) Tok...saya dah balik.

TAMAM: Sepatutnya kau berikan salam dulu, Johan.

JOHAN: Errr, maafkan saya abang Tamam. Err...Assalamu alaikum, Tok.

BORHAN: (NADA LEMAH) Waalaikum salam...apa khabar Johan.

JOHAN: Baik Tok. Johan sihat. Atok?

TAMAM: Atok macam inilah.

JOHAN: Sabarlah Tok

BORHAN: (BATUK-BATUK) Tuhan dah rampas segala tenaga aku, Johan. Tak mengapa. Aku reda.

JOHAN: Kami juga reda, Tok. Jangan bimbang, semangat juang Tok, akan kami warisi.

BORHAN: (BATUK) Nak berjuang apa lagi Johan....negara kita ni kan dah lima puluh dua tahun merdeka.(BATUK DAN PENAT)

TAMAM: Tok...jangan cakap banyak. Tok perlu rehat.

JOHAN: Setidak-tidaknya kami akan berusaha mengangkat martabat pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Tok. Kami akan kenang jasa-jasa mereka. Kami tak akan sia-siakan orang seperti Tok.

BORHAN: (BATUK DAN PENAT) Bagus. Tak sia-sia engkau belajar sejarah di luar negara.

TAMAM: (PENUH BIMBANG) Tok...berehatlah. Jangan bercakap banyak. Kami...(SEDIH) kami sangat faham semangat kental perjuangan Tok. Kami tahu Tok adalah bekas tahahan darurat selama tujuh tahun di Johor Baharu, penjara Autram Road Singapura, penjara Changi, penjara Majidi, penjara Tanjung Bruas. Atoklah orang yang paling kerap masuk keluar lokap.(SEBAK-SEDIH) Tapi..kami bangga. Buahnya dapat dikecapi semua. Generasi kini terhutang
budi.


BORHAN: Anakku (BATUK DAN PENAT) bukan Tok sorang...bukan... Jangan lupa mereka...titik darah mereka juga tumpah demi maruah negara dan bangsa.

JOHAN: (NADA GEMBIRA) Tak sia-sia saya pulang Tok! Tak sia-sia. Saya juga sudah kenal pasti mereka. Saya sudah berazam, kembalinya saya hari ini, saya akan berusaha memertabatkan mereka. Saya akan kembalikan mereka ke sini, Tok.

TAMAM: (HAIRAN) Ehhh, yang kau beria-ria sangat ni, kenapa? Siapa?

BORHAN: BATUK-BATUK. PENAT.

TAMAM: Siapa lagi kawan seperjuangan Atok, Johan?

JOHAN: Bukankah sejarah telah mencatat, ramai lagi pejuang yang menuntut kemerdekaan seperti Atok.

BORHAN: Johan...(BATUK DAN PENAT) Siapa mereka? Setahu Atok, rakan seperjuangan Atok...

JOHAN: (KETAWA MENYINDIR) Atok bukan ahli sejarah nampaknya, sebab itu Atok lupa.

BORHAN: Siapa Johan?

JOHAN: (NADA SOMBONG ) Wan...Wan Pin! Dia di luar negara!

BORHAN: (BATUK-BATUK. TERGAMAM) Wan Pin?

GRAM: MUSIK. PILIHAN PENERBIT.
LAGU PATRIOTIK ATAU LAGU KEMERDEKAAN MENJADI LATAR SECARA PERLAHAN BACAAN PUSI DI BAWAH.


MAWAR: (SEPERTI MEMBACA SEBUAH PUISI. SEBAK DAN SEDIH +
BERSEMANGAT)
Puluhan tahun dia berdiri di tanah ini
Menyambung perjuangan nenek moyang
Sang pahlawan yang berani
Menentang Feringgi, Belanda, Jepun dan Inggeris
Di Pasir Salak, Naning, Semantan
Mereka adalah Putera nusantara
Tujuh tahun malam memanjang
Merekok dalam bilik usang
Merekalah keturunan Putera Gunung Tahan.
Kini telah kembali semunya
Yang tinggal sisa-sisa
Sinar juang yang berkilau
Menyimbah persadaku
Ya Allah...
Redakan perjuangan mereka
Ya Allah...
Aku di sini menadah doa....
GRAM: BUNYI MOTOSIKAL DARI JAUH. SEMAKIN DEKAT. BERHENTI.

TAMAM: (SUARA JAUH) Assalamu alaikum...

MAWAR: (SUARA DEKAT) Waalaikum salam...haaa abang Tamam.
KESAN BUNYI: BUNYI PINTU DI BUKA.


TAMAM: Anak-anak ke mana?

MAWAR: Abang ni, macamlah Mawar ni ada anak sepuluh. Kan satu di Kuala Lumpur, dan satu tu pula ikut laki.

TAMAM: (KESAL) Kenapa tak ambil cucu tinggal bersama? Taklah sunyi sangat....ehhh, tadi aku dengar kau macam baca gurindam, seloka. Apa tu?

MAWAH: Puisi lama. Mawar pun dah lupa siapa yang tulis. (PAUSE) Ehhh Johan ada ke di rumah?Amboi, bertandang tidak, jenguk pun tidak. Hina sangatkah pondok kakaknya ni?

TAMAM: (SEPERTI BERBISIK) Inilah yang aku datang ni. Sejak dia balik, aku nampak Johan tu lain macam.

MAWAR: Lain macam? Macam mana, abang Tamam? Nak menikah dengan orang putih ke?

TAMAM: Bukan...bukan itu. Tapi soal perjuangan, soal sejarah perjuangan orang seperti Atok.

MAWAR: (HAIRAN) Haiii, belajar tinggi-tinggi sampai luar negara, soal itu pula yang di bawa balik? Nak jadi orang politik pulak ke?

TAMAM: Yang merisaukan aku, Mawar...dia cuba mencari pejuang kemerdekaan tetapi berbeza kaedah perjuangan mereka. Tidak seperti bapa.

MAWAR; Maksud abang?

TAMAM: Aku tidak tahu apa yang dia maksudkan. Kan aku ni bukan ahli sejarah. Tapi dia ada menyebut Wan Pin. Kau tahu siapa Wan Pin?

MAWAR: (TERKEJUT DAN MARAH MENDADAK) Wan Pin...? Hah, tak guna punya adik. Mengaji tinggi-tinggi, ke situ pula natijahnya.

TAMAM: (HAIRAN) Heee kenapa pula ni? Yang menyinga tiba-tiba, kenapa?

MAWAR: Abang Tamam tau tak, siapa Wan Pin?

TAMAM: Ehhh, manalah aku tahu. Aku bukan mengaji tinggi.

MAWAR: (KERAS) Ini bukan soal mengaji tinggi. Sejarah tidak semestinya belajar tapi cukup dari pengalaman masa lalu. Kena peka abang Tamam.

TAMAM: Yaaalah...engkau bekas pensyarah Maktab...aku ni, walaupun abang, cuma penoreh. Manalah aku tahu.

MAWAR: Abang pun macam orang lain juga. Masa lalu itulah sejarah. Dan sejarah tidak boleh dibiarkan begitu. Kita kena fikir, kena peka dan dia adalah guru bagi kita. Tanpa sejarah,maruah kita tidak boleh dinilai.

TAMAM: Hahhh, cakap tinggi-tinggi, lagi aku tak faham. Dahlah tu...kan elok kalau kau buat kopi O untuk aku (KETAWA)

GRAM: BUNYI AYAM BERKOKOK SIANG. BUNYI KUCING MENGIAU ATAU KAMBING MENGEBEK
TAMAM: (KETAWA) Haaa tenguk tu...binatang pun sokong aku (KETAWA)


MAWAR: Yalah, yalah....

GRAM: MUSIK. PILIHAN PENERBIT.

INJIN KERETA DI HIDUPKAN BEBERAPA KALI TAPI TAK MENJADI. AKHIRNYA BARU DAPAT DIHIDUPKAN.

JOHAN: Alhamdulillah....sampai nak berpeluh, baru menjadi.

MILAH: Nak kereta barulah tu.

GRAM: KERETA BERJALAN. MENGIRINGI DAILOG DI BAWAH.

JOHAN: Kalau Milah dapat fokus kepada NGO yang satu tu, saya rasa cukup baik. NGO tu banyak duit. Kita perlu untuk tambang pergi balik untuk tiga orang. Abang pula akan menemui beberapa orang bekas pejuang yang sama di sini. Mereka tentu bantu.

MILAH: Abang kena fikir panjang. Membawa pulang Wan Pin akan menimbulkan banyak masalah, banyak bantahan akan timbul.

JOHAN: (NADA SOMBONG) Milah, kan saya ni sarjana sejarah. Universiti dan tesis saya ni bukan lokal. Luar negara tau. Takkan sarjana dan tesis saya ni tak boleh pakai. Wan Pin memang pejuang. Dia sezaman dengan Atok saya.

MILAH: Itu memang betul. Tapi kaedah dan tujuan perjuangan mereka berlainan. Dua jalan yang tidak sama matlamat.

JOHAN: (KASAR) Siapa kata? Apa hujah? Atok saya dan rakan-rakannya menuntut kemerdekaan. Wan Pin juga berjuang menuntut kemerdekaan walaupun kelompok tidak sama. Tapi matlamatnya satu; ingin mencapai kemerdekaan dan ingin bebas dari penjajah.

MILAH: (SEDIH) Johan, Milah tak mau kerana persoalan ini kita bertengkar, kita berpisah. Kan lebih baik jika ketepikan soal ini.

JOHAN: (EGO) Mana boleh...ini persoalan besar. Ini persoalan nasional. Persoalan pejuang negara. Saya rela ikatan kita putus jika soal ini kita tak sehaluan.

MILAH: ( BERSAHAJA. NADA TENANG) Johan, melihat pemimpin tidak hanya dengan cacatan perjuangannya, tetapi mesti juga melihat keperibadian dan hala tujunya. Memang Wan Pin seorang pejuang. Pejuang untuk mencapai kemerdekaan. Tapi....

JOHAN: (CEPAT MEMOTONG) Tapi apa? Apakah kerana dia dikatakan seorang yang Lalim, maka kita petut menafikan perjuangannya?

MILAH: Ya, itulah nilainya seorang pejuang kemerdekaan. Dalam ungkapan
Melayu ada menyebut pemimpin ini jenis Lalim.


JOHAN: Lalim?

MILAH: Pemimpin Lalim pemimpin tak berperi kemanusiaan, biadap, kejam. Perangai terkutuk tangannya keras. Malam merompak siang memeras. Siapa menentang mati ditindas. Pemimpim lazim kalau dibiar, negeri rosak umat terkapar.

JOHAN: Jadi, Wan Pin, begitu? (MERADANG. MENEMPIK) Hahhhh! Saya hairan, kenapa cita-cita murni kami ini disalah anggap? Wan Pin sama macam Atok saya. Dia juga berjuang dengan
kumpulannya menuntut kemerdekaan, walaupun tidak sezaman Mat Kilau, Dato’ Bahaman atau Tok Janggot. Atok saya pun begitu tetapi dari kumpulan lain. Bukankah sama cita-cita mereka.
MILAH: Kerana itu Johan mahu membawanya pulang ke sini, setelah sepuluh tahun berada di negara luar?


JOHAN: Betul

MILAH: Kenapa dia melarikan diri dulu? Kenapa tidak bersama-sama orang seperti Atok Johan? Menetap hidup mati di tanah air sendiri?

JOHAN: Kerana kita salah anggap pada perjuangannya. Sebab itu kita mesti betulkan sejarah yang kabur ni.

MILAH: (LEMBUT. BERSAHAJA TAPI KEMUDIANNYA MENJADI SEDIH DAN
KERAS)Johan, saya adalah Milah...cucu Lazim. Lazim adalah pegawai polis berpangkat koperal di hujung tahun 40an dulu. Satu malam ketika Atok dan keluarga sedang tidur (SEDIH) tiba-tiba rumah kami di bakar. Atuk, ditembak jarak dekat. (MENANGIS) Nenek pula di seret seperti anjing dan Ayah saya masih bayi di biarkan saja dengan tangis kehilangan seorang bapa dan ibu. (KERAS) Dari cerita sejarah, kumpulan itulah yang kononnya ingin menuntut kemerdekaan. Perjuangan jenis apa namanya ini, Johan? (MENANGIS) Perjuangan kemerdekaan apakah namannya, Johan?


JOHAN: (GUGUP) Milah...Milah...kenapa...kenapa Milah timbulkan soal ini?

MILAH: Siapa saya sekarang? Kenapa tidak saya dikatakan cucu pejuang? Kenapa penzalim yang mahu diangkat menjadi pejuang? Kenapa Johan? (MENANGIS TERISAK-ISAK
)
JOHAN: (MEMUJUK) Milah...kita sebenarnya dikelirukan oleh sejarah. Pembunuhan dan kezaliman kerana mereka terdesak, kerana mereka terasing sedangkan mereka juga mahukan kemerdekaan. Dari catatan sejarah, mereka juga menuntut kemerdekaan.


MILAH: ( MENANGIS DAN SEDIH) Lesen apa sampai membolehkan mereka membunuh, berlaku zalim? Kenapa tidak membunuh penjajah sahaja? Kenapa membunuh Atok saya dan keluarganya yang lain? (MILAH MENANGIS. SUARANYA SEMAKIN JAUH-SEMAKIN JAUH)
JOHAN: (MEMANGGIL DENGAN CEMAS) Milah! Milah! Milah nak ke mana? Tunggu!


MILAH: (SUARA JAUH) Tak apa Johan. Jika itu cara Johan nak mertabatkan pejuang kemerdekaan, tak apa....tak apa...biarlah saya berundur.

JOHAN: Milah!

MILAH: (MENANGIS) Yatim piatu bapa saya sejak bayi tu tak akan dapat dikembalikan oleh pulangnya pemimpin itu. Tak apa. Maafkan saya Johan.

JOHAN: Milah! Milah!

GRAM: MUZIK. PILIHAN PENERBIT.
DISUSULI SEBUAH LAGU PATRIOTIK
DI SUSULI GEMA LAUNGAN MERDEKA. SEMAKIN HILANG


BORHAN: (SEDIKIT BATUK. PENAT) Ya Allah, aku tersangat rindu laungan itu. Ia bagaikan hembus bayu pagi yang menyegarkan semangatku.

TAMAM: Tok jangan bercakap banyak. Rehatlah. Tok masih tak bertenaga.

BORHAN: (KETAWA KECIL. MENYINDIR) Tak bertenaga? Memang orang tua sudah tak bertenaga. Tenaga kami sudah luntur kerana perjuangan kemerdekaan. Tapi kamu, tenaga yang bagaimana kamu guna mengisi kemerdekaan? Apa yang kamu lakukan terhadap pembangunan bangsa dan negara yang dah merdeka? (BATUK-BATUK)

TAMAM: Apabila zaman berubah, bentuk perjuangan juga berubah, Tok.

BORHAN: (SEAKAN MARAH) Berubah? Berubah yang macam mana, haaa? (BATUK DAN PENAT) Tamam, aku ni tidak pun berada dalam mana-mana parti. Aku bukan PKMM, aku bukan API. Tapi masa kecilku, aku mengekori Boestamam, Pak Swito, Burhanuddin, Mokhtar Laso, Abdullah CD, Musa Ahmad. Aku turut menyokong perjuangan merebut kemerdekaan, sehingga zaman Tunku Abdul Rahman. Atok tak pernah berubah. Malaya atau Malaysia bagi
bapa, hanya satu. Di atas runtuhan Kota Melaka...(BATUK-BATUK. MENERAN SUARANYA) Kami bangunkan jiwa merdeka.....Merdeka, merdeka, cucuku! (BATUK)


TAMAM: Tok....kami faham...kami faham.

MILAH: (SUARA JAUH MEMBERI SALAM)

BORHAN: Engkau dari mana, Milah? Mana Johan? Tak baik lama-lama begini. Kawin saja sementara Tok masih ada.

MILAH: Insyaallah Tok...jika ada jodoh, kami tak ke mana. (SEDIH) Tapi Tok...

TAMAM: Milah, boleh Milah hubungi Johan. Minta dia segera balik. Tok ada hal nak cakap dengannya.

MILAH: Saya baru berselisih faham dengan Johan, abang Tamam. Rasanya kami tak sealiran.

BORHAN: (KETAWA KECIL DALAM KEADAAN BATUK DAN PENAT) Orang sejarah tapi tak faham perjalanan sejarah, gitulah Milah.

MILAH: Tapi saya tak boleh bertolak ansur, Tok. Soal maruah bangsa dan maruah kemerdekaan bukan perkara kecil.

TAMAM: (SEPERTI BERBISIK) Milah....abang rasa lebih baik diamkan saja dulu. Beri masa untuk Tok ni berehat.

BORHAN: Milah....Borhan...kemari...mari dekat dengan Tok. (PENAT DAN BATUK) Jangan bimbang, apapun Tok tidak akan kecil hati, tidak pernah kecewa, malah berbangga. Bukankah benih yang Tok dan rakan-rakan tanam dulu telah hidup subur? Kami ajar rakyat mengenal demokrasi, kami ajar rakyat mengenal penjajah, kami beritahu apa itu feudal, kami beritahu apa itu kolonial dan kami tanam patriotik. Kami ajak menjadi rakyat yang satu dan kamulah, anak-anak merdeka yang telah memahaminya. (BATUK DAN PENAT SEMAKIN MENJADI)
TAMAN: (BIMBANG) Tok...


MILAH: Tok....

BORHAN TERUS BATUK-BATUK.

GRAM ; MUSIK. PILIHAN PENERBIT.

BUNYI ANGSSA, ITIK DAN AYAM.
JOHAN: Beginilah Kak Mawar...kami balik ke tanah air secara group. Kami bertekad, kemerdekaan kali ini akan diubah persepsinya tentang menilai pejuang kemerdekaan. Termasuk orang-orang seperti Tok dan rakan-rakannya yang dianggap kiri.


MAWAR: Johan, katalah apapun, tapi kau jangan lupa, kakak kau ini bekas pensyarah Maktab Perguruan, yang bukan saja membaca sejarah, tetapi menilainya juga.

JOHAN: Kalau macam tu, baguslah kak. Senang kita saling tolong menolong.

MAWAR: Maksud kau Johan?

JOHAN: Macam ni kak. Dalam kajian kami, masih ada seorang dua pejuang kemerdekaan yang dianggap sebagai pengkhianat. Mereka berada di luar negara. Mereka tidak dibenar pulang ke tanah air sendiri. Kami sedang berusaha membawa mereka pulang, mendesak masyarakat menerima mereka dan meyakini rakyat bahawa mereka bukan pengkhianat tetapi pejuang.

MAWAR: Siapa? Kau mau kakak iktiraf mereka?

JOHAN: Bukan itu saja, yang penting kakak tolong bergerak atas nama NGO, memungut sedikit derma untuk menampung kos kepulangan mereka. Di antaranya Wan Pin, pemimpin yang dianggap pengkhianat. Itu saja.

MAWAR: Johan, kau fikir kakak setuju dengan pemikiran Johan dan kawan-kawan Johan?

JOHAN: Astaghfirullah.....ke situ pula kakak ni. Apa halnya?

MAWAR: (GERAM. MARAH DALAM KEADAAN NADA SEDIH DAN SEBAK) Kau dengar baik-baik Johan. Tunang kau tu, datuknya seorang kopral polis, nenek, mak dan bapak saudaranya mati ditembak oleh mereka yang kononnya pejuang kemerdekaan. Kumpulan mereka itu ganas. Membakar kampung, rumah dan membunuh siapa saja. Apakah itu nilaian kau sebagai pejuang kemerdekaan?

JOHAN: Kak...

MAWAR: (SEBAK DAN SEDIH) Atuk sendiri terpaksa melarikan diri. Perjuangan mereka bukan menuntut kemerdekaan tetapi bercita-cita hendak memerintah dengan dasar mereka. Itukah nilai sejarah yang kamu yakini, Johan?

JOHAN: Kalau macam ni susahlah kak. Kakak menilai dari sudut yang lain. Kenapa tidak menilai perjuangan mereka?

MAWAR: (GERAM BERCAMPUR SEDIH) Kak sudah menilainya, Johan. Atas perjuangan mereka menuntut kemerdekaan kononnya, berapa banyak perempuan menjadi janda? Berapa ribu anak-anak menjadi yatim piatu? Berapa ratus asykar dan polis kita kudung kakinya, hilang tangan dan lumpuh? Berapa ratus pula mayat-mayat dipijak oleh mereka?Betulkah perjuangan mereka? Mat Kilau yang berjuang, tidak pernah membunuh bangsanya. Datuk Bahaman tidak pernah meyatimkan ribuan kanak-kanak. Tikaman keris dan lembing mereka tidak dihunjam ke dada bangsanya. Tapi mereka, kumpulan yang kau agungkan itu, berapa banyak pula peluru yang menembusi dada anak bangsa, pasukan keselamatan kita?

JOHAN: Kalau macam ni susahlah kak. Saya datang nak minta sokongan, bukan sebaliknya. Kumpulan kami terdiri dari pakar-pakar sejarah. Kami nak betulkan sejarah.

GRAM: BUNYI SUARA ANGSA
BUNYI AYAM BERKETAK, BISING.


MAWAR: Hahhh, sudahlah. Kau hanya belajar sejarah dan menilainya dari bacaan sejarah. Mari kita jumpa Atok. Atok bukan ahli sejarah tapi bapa telah melalui sejarah, Atok telah mengukir sejarah.

JOHAN: Atok pendendam. Atok bukan orang akademik.

MAWAR: Ewah-ewah....belajar setahun jagung, berjulung keris cuma sekampung, kepalang berguru bagai bunga kembang tak jadi. Kau patut sedar, Johan.

JOHAN: Kak...

GRAM: MUSIK. PILIHAN PENERBIT.

BORHAN: (SEPERTI BIASA; BATUK DAN SEDIKIT PENAT SEPANJANG DAILOG DI BAWAH) Cucu-cucuku, hari ini bukan hari terakhir Atok menemui kamu sekelian. Tapi hari ini mungkin hari terakhir ulang tahun kemerdekaan bagi Atok.

MAWAR: Atok, janganlah Atok cakap macam tu. Semuanya ketentuan Allah.

BORHAN: Mana Johan, Tamam. Sudah kau beritahu adik kau tu?

TAMAM: Saya dah beritahu, Tok. Mungkin sekejap lagi dia sampai.

BORHAN: Milah, tunang Johan?

MAWAR: Milah beritahu saya tadi, , yang dia sama sekali tidak dapat bersama Johan, jika Johan masih berpegang kepada pendiriannya.

BORHAN: Pendirian apa?

MAWAR: Kalau dia berusaha jugak membawa Wan Pin, bekas pemimpin gerakan kemerdekaan zaman Atok dulu sebagai pejuang kemerdekaan.

BORHAN: Alasannya?

TAMAM: Mungkin kerana Milah tidak dapat terima, seorang pembunuh Atoknya dan keluarganya mahu dianggap sebagai wira kemerdekaan.

BORHAN: (SEPERTI BERCAKAP SENDIRIAN) Pelik Johan ni. Belajar sampai luar negara, tiba-tiba itu yang diperjuang. Nyatalah, sejarah kita mesti ditulis oleh kita, bukan orang lain.

JOHAN: (DARI JAUH) Assalamualaikum....errr, maafkan saya.

BORHAN: Macam mana Johan?

JOHAN: (CERIA) Alhamdulillah Tok. Ramai dari kalangan NGO dan korporat membantu kami dan soal kos membawa pulang tidak lagi jadi masalah. Cuma kerajaan saja yang perlu memberi lampu hijau.

MAWAR: (MARAH DAN KERAS) Akak tak setuju dengan tindakan kau dan sekutu kau tu.
JOHAN: Kak, ini persoalan kebangsaan, persoalan nasional, bukan soal individu.


BORHAN: Johan kau tahu ke apa yang kau buat ni?

JOHAN: Kenapa tidak Tok? Kami kumpulan yang telus. Kami sudah lama buat kajian. Wan Pin adalah pejuang kemerdekaan. Tak kiralah dia dalam kumpulan mana.

TAMAM: (GERAM) Johan, jika bukan di depan aTok, sudah lama aku tendang engkau.

BORHAN: Bertenang...bertenang... (NADA SEBAK, MENGGELETAR MENAHAN SAKIT TETAPI PENUH SEMANGAT PATRIOTIK) Ramai manusia menari di hadapan orang buta! (BATUK-BATUK. KETAWA KECIL MENYINDIR) Tapi sayang tak seorang pun orang buta itu
tahu keindahan tarinya? Ramai manusia memberi penilaian kepada ahli pejuang, tetapi mereka orang-orang pengecut. Ramai manusia alim tentang sejarah, tetapi mereka tidak mengukir sejarah. (BATUK-BATUK) Adakah sama orang yang melihat orang lain tenggelam di dalam ombak yang beralun temalun dengan orang yang tenggelam bersama-sama ombak? (BATUK DAN MENGELUH BERAT) Ya Allah…Engkau Maha Mengetahui…(BATUK DAN PENAT)


MAWAR: Kau faham itu, Johan?

JOHAN: Kak, banyak fakta sejarah disembunyikan. Wan Pin dengan gerakan mereka, sama dengan gerakan nasionalis kita. Mereka juga berjuang menuntut kemerdekaan. Sama dengan perjuangan bapa dan rakan-rakannya. Mengapa kita mesti menafikan mereka?

BORHAN: (BATUK DAN PENAT) Kemerdekaan? Siapa kata mereka berjuang menuntut kemerdekaan? Mereka berjuang hanya untuk mendapat pemerintahan, pemerintahan yang tidak sama dengan jiwa kemanusiaan kita.

JOHAN: Bukankah mereka menentang Jepun, menentang penjajah Inggeris?

TAMAM: Tapi dalam masa yang sama mereka membunuh kaum keluarga kita, membunuh rakyat, orang kampung yang bukan Jepun atau Inggeris. Kenapa?

JOHAN: Kerana kebanyakan rakyat menyokong Jepun, menyokong Inggeris dan menentang mereka.

BORHAN: Bohong! Kenapa kami yang menentang Inggeris juga mereka mahu bunuh?Sebenarnya engkau ni sama dengan mereka yang dilahirkan selepas merdeka telah dikelirukan oleh sejarah, dikelirukan oleh fakta. Pusat pengajian engkau tidak banyak mengkaji sejarah ini. Engkau hanya pembaca sejarah, bukan pengukir sejarah.Nehro atau Gandi turun bersama rakyat, mengajak sama-sama menuntut kemerdekaan. Tapi orang yang engkau sanjung ini, menghala bidik dan muncung senapang kepada rakyat. Orang yang engkau anggap pahlawan, keluar dari hutan seperti harimau lapar. Mereka bukan saja merampas beras dan makanan, tetapi merogol anak-anak gadis di waktu itu. Laungan merdeka mereka ialah letupan dari muncung senapang. Orang seperti inikah yang kau hendak samakan atau lebihkan dari Atok kau ini? (MENANGIS)

MAWAR: (GERAM. KASAR) Mahu aku himpunkan segala janda dan anak yatim piatu sebagai bukti kekejamaman mereka, yang kau anggap pejuang kemerdekaan? Mahu aku bawa batu nisan dan tulang16 tulang untuk membuktikan bahawa mereka mati adalah hasil tembakan mereka?

JOHAN: Bukan apa Tok, kakak....abang. Kami rasa tidak adil jika kita tidak mengiktiraf mereka sedangkan mereka adalah sebahagian dari pejuang kita. Itu saja.

MAWAR: Lantak engkaulah kalau engkau nak iktiraf, tapi mengapa mesti dibawa balik ke sini, membiarkan mereka berjalan di atas tanah kubur mayat yang mereka bunuh? Membiarkan mereka selesa di tengah-tengah kesangsaraan mangsa yang masih hidup?

BORHAN: (SEMAKIN KUAT BATUK DAN PENAT) Tak apa...biarkan dia. Setidak-tidak ada juga anak Atok yang pandai membaca sejarah, bukan pengukir sejarah.

JOHAN: (terharu) Atok...

BORHAN: Antara orang yang membaca sejarah dengan pengukir sejarah, jauh bezanya.Kadang-kadang yang mengukir juga patah pemahatnya atau pengukir itu tamak perasaannya. Kepada merekalah terletak nilai ketelusan perjuangan, termasuk menuntuk kemerdekaan.

MAWAR: Atok, sudahlah Tok. Tok perlu berehat.

BORHAN: Tak apa anakku. Atok bukan pemahat sejarah lagi. Atok cuma nak memperingati. Ketahuilah, memang bangsa kita perlu kepada merdeka, tapi bukan semua yang tahu menilainya.
JOHAN: Atok, maafkan saya...saya minta diri....saya ada hal.


MAWAR: Kau nak ke mana, Johan. Kan Atok sakit.

BORHAN BATUK-BATUK DAN PENAT.

TAMAM: Biarkan dia....nampaknya dia masih degil. Orang mengaji tinggi katakan...

MILAH: (SUARA JAUH. KUAT) Assalamualaikum.....

JOHAN: Milah...

MILAH: Johan, kau dah tengok berita terkini dekat internet?

JOHAN: Berita. Berita apa?

MILAH: Ada beberapa laman sesawang tulis artikel pasal penangkapan salah seorang ketua NGO yang taja projek kau tu kena tangkap.

JOHAN: Kesalahan apa?

MILAH: Dia disyaki menjadi dalang propaganda anti kerajaan..., aku takut kau akan diheret sama.

JOHAN: Ya Allah.... Tok...macam mana ni Tok?

BORHAN: (MENYINDIR) Kau orang bijak tentu boleh membezakan antara kaca dan intan.

TAMAM: Betul kau tak terlibat Johan?

JOHAN: Betul.... saya tak terlibat bang. Saya tak tahu menahu pun. Mungkin saya salah dari segi pemahaman tentang perjuangan kemerdekaan tapi saya cintakan negara saya. Saya cucu Atok, pejuang kemerdekaan! Maafkan saya Tok. Apa yang patut saya buat ni Tok?

GRAM: MUZIK PENUTUP. PILIHAN PENERBIT.

JH: Demikian tadi sebuah drama khas, sempena hari kemerdekaan yang berjodol : SEORANG CUCU PENGUKIR KEMERDEKAAN, hasil tulisan Azizi Hj.Abdullah, Kulim Kedah.
Yang mengambil bahagian tadi ialah:
......................................
.....................................
.....................................
....................................
....................................
Drama khas itu tadi diterbitkan oleh Zuraidah Mohd. Noh.

No comments: