Tuesday, September 18, 2012

Syabab Musafir Kasih


ZZZT 2213

BENTUK-BENTUK PENULISAN

 

ULASAN NOVEL:

“SYABAB MUSAFIR KASIH”

 

 

PENSYARAH:

CIK MAHARAM MAMAT

 

 

DISEDIAKAN OLEH:

 

KUMPULAN AL-HAMRA’

 

ABDUL RASYID BIN YUSOF

WAN ABDUL KUDDUS BIN WAN MOHD NORADIN

SITI NOOR BAIZURA BINTI ZAKARIA

NURUL NUR SHUHAIDA BINTI MOHD MOKHTAR

INSYERAH BINTI MOHAMMAD ZAKI






Pendahuluan

Syabab Musafir Kasih” merupakan sebuah novel hasil karya Fatimah Sharha Mohd Noordin. Beliau merupakan seorang penulis muda yang dilahirkan pada 17 Oktober 1984 dan berasal dari Kuala Terengganu. Selain terkenal sebagai novelis, beliau merupakan graduan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta berpengalaman sebagai Pear Tutor Sarjana di (UIAM). 

Syabab merupakan kosa kata dari bahasa arab yang membawa maksud pemuda. Syabab sebenarnya adalah nama bagi watak utama dalam novel Syabab Musafir Kasih. Novel Syabab Musafir Kasih mengisahkan tentang pengalaman hidup seorang pemuda yang malang pada awal kehidupannya. Syabab adalah seorang anak yatim yang kematian bapa ketika masih di zaman kanak-kanak lagi. Hidupnya seperti kanak-kanak terbiar kerana kurangnya perhatian daripada seorang ibu tunggal. Seorang jiran bernama Nur Mumtazah sanggup memberikan perhatian kepada Syabab seperti adik kandung sendiri. Seterusnya, beliau meneruskan kehidupannya di bandar untuk mengubah nasib keluarga yang sering dipandang hina oleh penduduk Kampung Pacat Lintah. Hasil pertolongan Micheal Lim, beliau bekerja sebagai model sambilan dan penulis lirik lagu. Namun, beliau kembali semula ke kampung setelah kematian ibunya.

Sokongan yang berterusan daripada Ustaz Mursyid dan Nur Mumtazah mendorong beliau ke Syiria untuk mendalami ilmu pengetahuan agama dalam pelbagai bidang ilmu, antaranya Talaqqi al-Quran, ilmu Syariah dan sebagainya. Tindakan tersebut menyebabkan Syabab berjaya mengubah dirinya menjadi seorang pemuda yang hebat. Malah kecerdikannya turut dipuji oleh Syeikh Habanakah yang merupakan Ulama’ terkenal di Syiria. Seterusnyanya, beliau menjadi pembimbing dan pendakwah kepada pemuda-pemudi di kampung halamannya serta menjadi salah seorang pejuang Islam.



Matlamat Kajian
Mengulas perkembangan watak Syabab sebagai watak protagonis atau watak utama dalam novel Syabab Musafir Kasih.

Objektif Kajian
  1. Mengkaji perkembangan kehidupan watak utama yang dibawa oleh Syabab dalam novel tersebut.
  2. Mengetahui punca dan faktor perubahan kehidupan Syabab menjadi seorang pemuda yang hebat.
  3. Mengenali watak utama melalui ucapan lahir atau dialognya.

Skop / Limitasi Kajian
Limitasi Bidang Kajian
Skop kajian ini memfokuskan kepada peranan watak utama dalam menghidupkan jalan cerita novel ini.

Metodologi Kajian
Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah kajian perpustakaan sahaja. Kajian ini telah dijalankan untuk mengkaji dan menganalisis watak utama dalam novel Syabab Musafir Kasih. Bahan-bahan rujukan yang digunakan terdiri daripada novel, buku internet dan yang berkaitan dengan kajian.


Watak Syabab dalam “ Syabab Musafir Kasih”

Penulis mengenengahkan watak Syabab sebagai watak protagonis dalam novel Syabab Musafir Kasih. Beliau berperanan sebagai watak utama dalam jalan cerita novel ini. Penulis juga menceritakan perkembangan kehidupan Syabab sebagai seorang pemuda yang kematian bapa di awal kehidupannya. Kehidupan Syabab agak terbiar disebabkan kurangnya didikan yang sempurna daripada keluarga. Beliau tinggal bersama ibu, kakak dan abang-abangnya. Sikap kakak dan abang-abang Syabab yang pemalas memaksa ibunya bekerja keras untuk menyara mereka yang tidak tahu berdikari. Keadaan ini, menjadikan ibu mereka seorang hamba. Malah, ibunya turut dikeji oleh orang kampung kerana gagal mendidik anak-anaknya berdikari untuk mengurus kehidupan mereka.

Walau bagaimanapun, Nur Mumtazah iaitu jiran Syabab telah membantu Syabab keluar dari belenggu kemiskinan harta dan ilmu. Nur Mumtazah sanggup memberikan perhatian kepada Syabab seperti adik kandung sendiri sehingga melebihi perhatian terhadap adik sendiri. Syabab sangat menyayangi Nur Mumtazah. Sekiranya Syabab terlalu nakal, maka Nur Mumtazah akan mengugut dengan menyatakan “ Nanti akak balik U ”. Seterusnya,  apabila Syabab mendengar kata-kata itu dia akan menghentikan perbuatan nakalnya itu. Perhatian yang diberikan oleh Nur Mumtazah kepada Syabab akhirnya membesarkan Syabab dalam suasana Islam.

Tambahan pula, kesusahan yang dihadapi oleh Syabab tidak mematahkan semangat remajanya menghadapi pelbagai rintangan dalam menjalani kehidupan. Sumbangan lembu yang diberikan oleh ayah Nur Mumtazah memberi peluang kepada beliau menjadi penternak yang berjaya. Penulis juga menjelaskan bahawa beliau bukan sahaja telah menjadi penternak yang berjaya malah turut digelar sebagai petani moden dalam menguruskan ladang kelapa sawit yang merupakan tanah peninggalan arwah ayahnya. Kejayaan beliau sebagai petani moden telah menjadi contoh kepada golongan belia seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada mereka termasuk kepada abang-abangnya juga.

            Seterusnya, penulis turut menceritakan tentang penghijrahan Syabab ke ibu kota Kuala Lumpur. Penghijrahan tersebut menemukan Syabab dengan Micheal Lim yang merupakan seorang pencipta filem animasi. Perkenalan antara Syabab dengan Micheal Lim membawa perubahan positif dalam kehidupan Syabab iaitu beliau bekerja sebagai model sambilan dan penulis lirik lagu di bawah kelolaan bapa saudara Micheal Lim. Sepanjang perjalanan kehidupan Syabab di ibu kota Kuala Lumpur, beliau telah berjaya membina kerjaya sendiri bersama dengan Micheal Lim. Beliau juga turut mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas di dorong oleh Micheal Lim dan ibunya. Namun penghijrahan beliau ke ibu kota hanya sementara sahaja setelah kematian ibunya. 

            Selain itu, penulis juga menyentuh detik-detik kehidupan Syabab selepas kematian ibunya. Kata-kata perangsang daripada Nur Mumtazah dan Ustaz Mursyid telah menyuntik semangat baru kepada Syabab. Justeru, Nur Mumtazah dan suaminya mencadangkan kepada Syabab supaya menguasai Bahasa Arab dan menambah ilmu pengetahuan di Timur Tengah dengan harapan agar beliau dapat menjadi seorang pemimpin yang mampu membimbing pemuda dan pemudi di kampungnya. Di samping menjadi pejuang Islam dalam menyebarkan dakwah Islam kepada orang kampungnya ke arah kehidupan yang lebih bermakna termasuk adik-beradiknya sendiri agar mereka tidak terus hanyut dengan kehidupan dunia yang melalaikan.

            Novel Syabab Musafir Kasih juga penulis telah merungkaikan permasalahan yang dihadapi oleh Syabab terhadap kekeliruan mengenai hukum-hukum agama. Antara kekeliruan tersebut ialah mengenai hukum wuduk yang dipersoalkan oleh Imam Latif kepada Ustaz Mursyid. Beliau keliru dalam menentukan kesahihan pendapat daripada kedua-dua imam tersebut mengenai batalnya wuduk sekiranya berlaku sentuhan antara suami dan isteri. Akhirnya kemusykilan tersebut dapat dirungkaikan oleh Ustaz Mursyid dengan memberi penjelasan yang ringkas beserta dalil naqli dan dalil aqli yang bersesuaian.

Semasa berada di Syiria, Syabab berjaya menguasai Bahasa Arab Fushah serta menghabiskan Talaqqi al-Quran dengan Syeikh Shobir Hakim Habanakah. Penulis juga menggambarkan tentang sikap kepimpinan Syabab yang semakin menyerlah. Hal tersebut terbukti apabila beliau dapat menyelesaikan masalah yang dialami oleh salah seorang daripada rombongan akhawat yang kehilangan barang berharga.  Hal ini berlaku ketika beliau menemani rombongan tersebut ke kelas Talaqqi yang dipimpin oleh Syeikh Ramadhan al-Buthi di Masjid Abu Nur. Di samping itu, menjadi kebiasaan kepada mahasiswa di sana, mereka dipertanggungjawabkan untuk menemani mahasiswi ketika berada di luar kawasan penginapan. Hal ini demikian kerana di Syria mahasiswi tidak dibenarkan menaiki teksi tanpa ditemani seorang siswa.

            Syabab meneruskan tanggungjawabnya setelah berjaya memperolehi ijazah dari Damsyik. Kepulangan beliau ke Kampung Pacat Lintah melakarkan satu misi baru untuk mengubah sikap anak-anak muda yang semakin hilang nilai moral Islam. Perkara ini berlaku setelah Nur Mumtazah dan Ustaz Mursyid meninggalkan kampung tersebut, menyebabkan anak-anak muda di kampung tersebut semakin lalai dalam melaksanakan tuntutan agama. Oleh itu, Syabab bersama Imtiyaz bersatu menggembeling tenaga untuk berdakwah kepada belia kampung mereka melalui pelbagai program motivasi dan kendiri yang diadakan pada setiap hujung minggu.

            Penulis juga mencoretkan watak Syabab yang menamatkan zaman bujangnya bersama Nur Mumtazah. Setelah melalui pelbagai konflik yang berlaku dalam kehidupannya, Syabab akhirnya berjaya menjadi seorang motivator agama yang disegani. Beliau memilih Nur Mumtazah iaitu seorang janda sebagai suri hidupnya kerana memiliki keperibadian akhlak yang unggul. Walaupun di awal lamarannya Nur Mumtazah agak keberatan untuk memberi keputusan terhadap lamaran Syabab. Hal ini demikian kerana perbezaan umur beliau dengan Nur Mumtazah jauh berbeza, malah beliau berhak untuk mengahwini wanita perawan yang lebih muda dan mampu menyayanginya. Namun, setelah Syabab menjelaskan pendiriannya memilih Nur Mumtazah berdasarkan sebuah hadis Rasulullah riwayat Bukhari dan Muslim yang menceritakan bahawa Jabir bin Abdillah telah menemui Rasulullah dan berkata:

“Aku baru sahaja bernikah.” “lalu Rasulullah bertanya, dengan siapa engkau bernikah?”. “Dengan seorang janda,” jawab Jabir. Rasulullah s.a.w lalu bersabda: “Mengapa tidak dengan seorang gadis yang boleh membuatkanmu tertawa gembira dan engkau boleh membuatkannya tertawa gembira?”. Sahabat itu menjawab, dia berkahwin dengan janda kerana dia mempunyai ramai adik-beradik kecil yang tidak ada sesiapa boleh menjaganya. Seorang janda ada pengalaman untuk menjaga anak-anak kecil. Justeru, janda itu menjaga adik-adiknya kerana ibunya sudah meninggal. Rasulullah s.a.w. pun diam
(Fatimah Syarha bin Mohammad Noordin. 2008: 342).
 
            Begitu juga dengan keadaan Syabab yang mempunyai seorang kakak yang perlu dibimbing dan anak-anak saudara yang memerlukan asuhan agama. Oleh itu, Syabab memerlukan seseorang seperti Nur Mumtazah yang mampu menjadi pendidik yang baik. Hal ini terbukti apabila Nur Mumtazah berjaya mendidik adik-adiknya dan Syabab menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan agama. Seterusnya, misi dakwah dan pentarbiyahan masyarakat kampung yang dibawa oleh Syabab telah berjaya, usaha ternakan juga turut berjaya. Di samping kebahagiaan berkeluarga juga dikecapi oleh Syabab dan segalanya merupakan anugerah Allah kepada mereka yg membantu agama-Nya.


Kekuatan Watak Syabab

Watak Syabab dalam Syabab Musafir Kasih banyak memberi pengajaran dan pandangan beliau serta gagasan yang mampu membuka minda para “syabab” dan “fatayat” umumnya di serata dunia. Begitu juga dengan sifat dan nilai-nilai murni yang ditunjukkan beliau sehingga membesar menjadi seorang pemuda yang hebat. Antara sifat yang dimiliki oleh Syabab dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang anak yatim yang penuh dengan kesusahan dan berkat keyakinan beliau terhadap Islam ialah: 


  1. Sabar
Sabar ialah sifat seseorang muslim yang mampu menahan dan mengawal perasaan dari sifat-sifat mazmumah seperti marah, kecewa, putus asa dan hampa. Tanpa sifat sabar seorang manusia akan mudah kehilangan arah hidup dan lemah jiwanya. Sifat sabar juga dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah s.w.t (Mohd Yusof. 2007: 35).

            Novel Syabab Musafir Kasih telah menggambarkan watak Syabab sebagai seorang yang sabar ketika menghadapi kehidupan sepanjang zaman kanak-kanaknya. Beliau telah menerima pelbagai tohmahan dan penghinaan daripada penduduk kampung. Beliau digelar sebagai budak nakal dan pengotor. Selain itu, penulis juga menjelaskan bahawa Syabab memiliki sifat sabar dan tabah ketika berlakunya insiden tentang kematian beratus-ratus ekor lembu ternakannya yang mengakibatkan beliau menghadapi kerugian yang besar (Fatimah Syarha Mohd Noordin. 2008: 123).

  1. Berani
Sifat berani bukan hanya bertempur di medan peperangan sahaja, malah sifat berani juga bermaksud mampu menguasai jiwa seseorang seperti menahan perasaan marah ketika menghadapi sesuatu perkara. Berani juga bermaksud seseorang itu tidak takut mengambil keputusan pada waktu-waktu tertentu dan berani mengemukakan pendapat bahawa yang benar itu benar dan yang salah itu tetap salah (M. Ali Hasan. 1997: 48).

            Sifat berani terserlah pada watak syabab yang berani mencuba sesuatu yang baru. Antaranya beliau berani tampilkan diri di hadapan khalayak ramai dengan bekerja sebagai model sambilan ketika mencari rezeki di ibu kota. Sifat tersebut menjadikan beliau seorang yang terkenal sehingga beliau mampu memperolehi pendapatan yang lumayan (Fatimah Syarha Mohd Noordin. 2008: 151). Selain itu, beliau juga berani berhadapan dengan sekumpulan pemuda liar di kampungnya untuk memperbaiki siasah mereka, dengan menyertai program yang telah disediakan oleh beliau dan Imtiyaz. Ketika menyampaikan dakwah kepada Majid yang merupakan salah seorang daripada samseng Kampung Pacat Lintah, beliau telah diberi amaran keras oleh Majid. Antara contoh amaran Majid ialah “Jangan tunjuk pandai di sini” dan “Jangan cakap pasal agama”.   Keberanian beliau itu mampu menjadi contoh kepada belia kampung untuk terus memajukan diri dalam pelbagai bidang kehidupan (Fatimah Syarha Mohd Noordin. 2008: 286).

            Penulis juga menceritakan watak Syabab yang berani berdakwah golongan mat rempit di kampungnya. Beliau sanggup bergadai nyawa menerima cabaran daripada Majid supaya turut berlumba dengan mereka. Syabab menyahut cabaran itu dengan harapan agar dapat mengubah mereka di samping  menyelamatkan kak longnya yang dijadikan sebagai umpan kepadanya dalam pertaruhan lumba motor tersebut (Fatimah Syarha Mohd Noordin. 2008: 296-297).

  1. Taqwa
Menurut perspektif Islam, taqwa bermaksud menjauhi dan menjaga diri daripada melakukan sesuatu perkara mungkar. Sifat taqwa juga bermaksud lahirnya perasaan takut dari melakukan perbuatan yang tidak diredhai oleh Allah. Antara contoh dalam ungkapan taqwa ialah “Takutlah kepada Allah” dan “Peliharalah dirimu dari seksa balasan Illahi ” (Murtadha Muthahhari. 1999: 12).

            Penulis menonjolkan watak Syabab sebagai seorang pemuda yang bertaqwa. Bukti bagi ketaqwaan Syabab itu ialah beliau sanggup melepaskan peluang kerjaya sebagai model kerana bimbang akan terpengaruh dengan arus dunia kemodenan yang kian meruncing. Setelah mendengar sepotong ayat al-Quran yang dibaca oleh Ustaz Mursyid, dari Surah Saba’, ayat 49 yang bermaksud; “Katakanlah kebenaran telah datang dan yang batil itu tidak akan memulai dan tidak pula akan mengulangi”. Syabab terus membulatkan tekadnya untuk meninggalkan dunia lamanya (Fatimah Syarha Mohd Noordin. 2008: 169).

  
           
  1. Berdakwah
Menurut pandangan Abdullah Hassan (2004) daripada penulisan beliau yang bertajuk “Komunikasi Untuk Pendakwah” menerangkan bahawa berdakwah bermaksud mempengaruhi orang supaya mengubah sikap, pemikiran dan tingkah laku sesuai dengan ajaran agama yang diajarkan. Seseorang pendakwah mampu mempengaruhi masyarakat selagi masyarakat itu masih menaruh kepercayaan kepadanya dan konsep dakwah yang diketengahkan olehnya sesuai dengan kehidupan mereka. Hal ini menjadi kelaziman bagi seseorang pendakwah, adakalanya dia disukai kerana dirinya seorang yang pandai melawak, ringan tangan, pemurah, berpengetahuan serta berpengalaman, namun tidak semua tindakan yang dibuat mendapat sokongan masyarakat umum. Allah telah menjelaskan dalam firmannya dalam Surah al- Isra’, ayat 110 kepada para pendakwah;


“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Serulah nama "Allah” atau nama "Ar-Rahman”, Yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia".
 
            Begitu juga gambaran yang diberikan penulis kepada watak Syabab yang juga berperanan sebagai pendakwah. Beliau tidak pernah jemu melontarkan kata-kata hikmah kepada golongan muda mudi di kampungnya agar mengubah kehidupan mereka ke arah hidup yang lebih berdisiplin. Syabab berusaha melaksanakan tugas dakwahnya dengan mempelbagaikan bentuk seruan dakwah bagi memikat masyarakat kampungnya untuk mendalami Islam. Antara bentuk dakwah yang disampaikan beliau adalah melalui ceramah-ceramah agama, menubuhkan kelab nasyid, silat, kelab kompang serta menerbitkan filem animasi yang berunsur Islamik. Sifat dakwah yang dibawa oleh syabab turut menambat hati Micheal Lim untuk memeluk Islam (Fatimah Syarha Mohd Noordin. 2008: 332-336).

  1. Rendah diri
Rendah diri ialah tidak sombong dan tidak meninggikan diri sendiri atas kelebihan yang ada pada diri sendiri. Selain itu, tidak memandang rendah diatas kekurangan dan kelemahan orang lain. Sifat rendah diri menjadikan diri disayangi dan hidup dalam kesejahteraan. Antara sifat yang menunjukkan rendah diri ialah tidak berasa kekok dan malu bergaul dengan orang lain yang lebih rendah kedudukan darinya seperti orang miskin, orang-orang tua, anak-anak dan sebagainya (Mohd Yusof. 2007: 40).

            Begitu juga sifat yang dimiliki oleh Syabab, perubahan hidupnya daripada seorang kanak-kanak yang malang menjadi seorang pemuda yang terkenal sebagai penulis lirik dan model yang berjaya, malah beliau turut digelar sebagai penternak muda yang berkebolehan dan berpotensi tinggi bukan sahaja dalam bidang ternakan tetapi beliau juga dapat menguasai bidang perladangan dan juga bidang keagamaan. Hal tersebut jelas terbukti bahawa walaupun hidup beliau penuh dengan kemasyhuran ketika menetap di ibu kota, namun beliau masih bersifat rendah diri dengan masyarakat kampung. Malah, beliau tidak malu untuk dikenali sebagai budak kampung.

            Selain itu, Nur Mumtazah juga sentiasa memberi nasihat dan peringatan kepada suaminya Syabab, supaya tidak mudah terpengaruh dengan kemasyhuran yang beliau miliki. Nur Mumtazah juga sering mengingatkan suaminya melalui sepotong ayat al- Quran dari Surah al- A’raf ayat 201 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang bertaqwa apabila mereka dibayang-bayangi fikiran jahat (berbuat dosa) daripada Syaitan, merekapun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalannya)”
(Fatimah Syarha Mohd Noordin. 2008: 119.)

  1. Pemimpin
Pemimpin berperanan sebagai pendorong dan mempengaruhi orang lain untuk berusaha ke arah pencapaian sesuatu objektif tertentu. Secara umumnya, pemimpin juga disandarkan sebagai seseorang yang rela bergiat dan berusaha ke arah mencapai misi pimpinannya. Seorang pemimpin bertanggungjawab dalam memimpin keluarga, masyarakat serta juga dalam menegakkan yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar. Dengan itu, pemimpin Islam haruslah mempunyai sahsiah ma’nawiyyah yang tersendiri dari sudut takwa, ilmu, iradah dan sebagainya (Asiah ‘Ali. 1999: 202).

            Watak Syabab sebagai pemimpin terserlah sejak kecil lagi. Beliau membantu Nur Mumtazah untuk mencari budak-budak kampung supaya menyertai kelas tambahan yang di pimpin oleh Nur Mumtazah sendiri. Ketika itu, beliau berperanan sebagai ketua bagi kanak-kanak kampung itu. Sifat kepimpinan beliau semakin menyerlah setelah beliau melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah. Beliau bertanggungjawab untuk menghidupkan kembali roh Islam kepada masyarakat desa dan juga di ibu kota. Antara kejayaan yang telah beliau kecapi ialah beliau berjaya mengubah gaya hidup pemuda Kampung Pacat Lintah dengan menyertai aktiviti-aktiviti yang diadakan pada setiap hujung minggu. Seterusnya, beliau juga berjaya mengislamkan Micheal Lim. Sifat kepimpinan beliau juga berjaya mempengaruhi pemuda-pemudi kampung  dalam melakukan penghijrahan hidup.


Kelemahan Watak Syabab

Selain memiliki budi pekerti mulia, sebagai manusia biasa Syabab juga tidak ketinggalan daripada mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu sepanjang mengatur perjalanan kehidupannya. Antara kelemahan–kelemahan yang terdapat dalam watak Syabab ialah:

a)      Tiada keyakinan diri
Syabab adalah seorang anak yatim yang sering dibuli dan dihina sejak kecil lagi. Dengan itu, akibat selalu dihina dan dipersenda oleh masyarakat kampung serta rakan-rakan sekolahnya mengakibatkan Syabab hilang keyakinan diri. Hal ini mendorongnya untuk bersikap menyendiri. Sikap tersebut memberi kesan kepada kehidupannya, iaitu beliau berasa tidak yakin untuk memperolehi pencapaian akademik yang cemerlang serta menganggap dirinya tidak layak untuk menjadi pemimpin kepada pemuda-pemudi Kampung Pacat Lintah tersebut. Sikap tersebut amat dibimbangi oleh Nur Mumtazah dan suaminya Ustaz Mursyid kerana sikap yang demikian tidak akan dapat mengubah hidup pemuda itu. Oleh itu, mereka berdua berusaha mendidik dan sentiasa memberi sokongan moral kepada Syabab.

b)      Sifat terburu- buru
Watak Syabab juga turut disandarkan sebagai pemuda yang mempunyai sifat terburu-buru. Hal tersebut digambarkan oleh penulis dalam watak Syabab yang terburu-buru membuat keputusan untuk mengekori sekumpulan mat rempit yang turut membawa kakaknya sebagai umpan. Tindakan tersebut mengakibatkan berlakunya peristiwa tragis yang menyebabkan kematian Ustaz Mursyid dan Majid di tempat kejadian. 


Kesimpulan

Secara keseluruhannya, watak Syabab boleh dikategorikan sebagai watak stereotaip. Hal ini kerana jalan ceritanya mudah dijangka dan diramal. Selain itu, penulis banyak menceritakan keperitan kehidupan Syabab pada zaman kanak-kanak. Namun kelemahan itu ditampung dengan penyampaian cerita yang tidak membosankan serta disokong dengan latar masa dan tempat yang pelbagai. Walaubagaimanapun, watak Syabab di pertengahan novel ini cukup menarik. Penulis menggambarkan perwatakan Syabab sebagai seorang pemuda akhir zaman yang sarat di hujani dengan persoalan hidup. Selain itu, penulis turut membawa  firman-firman Allah dan dalil-dalil hukum melengkapkan lagi kefahaman dan memberi kesedaran serta motivasi kepada pemuda-pemudi. Segala persoalan yang ditimbulkan oleh penulis dalam karyanya disampaikan dengan penuh hikmah dan fakta yang benar.

Secara umumnya, Syabab Musafir Kasih karya Fatimah Syarha cuba menyampaikan mesej kepada pemuda-pemudi kini yang semakin hanyut dibuai arus kemodenan. Mutiara-mutiara ilmu dan semangat yang cuba digarap dalam karyanya telah melahirkan kesungguhan penulis untuk membangkitkan semula semangat pemuda sebagai pemimpin dalam masyarakat, keluarga dan juga agama, seperti kata-kata dari novel ini iaitu; “Wahai Syabab, Ketekunanmu mengoborkan cita-cita, Semangatmu bak api marak menyala, Kau pemuda harapan, Sinar menantimu di hadapan, Bebaskanlah pemuda, Dari belenggu kejahilan, Kau mampu berlari kencang, Mencipta gelombang, Ayuh Syaba ”.


RUJUKAN


Asiah ‘Ali. 1999. Muslimah : pendidikan, kekeluargaan dan perjuangan. Kuala Lumpur : Muttaqin Sdn. Bhd.

Abdullah Hassan. 2004. Komunikasi untuk pendakwah. Pahang : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Fatimah Syarha bin Mohammad Noordin. 2008. Syabab musafir kasih. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd.

M. Ali Hasan. 1997. Tuntutan akhlak. Kuala Lumpur : Percetakan Zafar Sdn. Bhd.

Mohd Yusof. 2007. Bimbingan akhlak mulia dan nilai-nilai murni. Selangor : Berlian Publications.

Murtadha Muthahhari. 1999. Ceramah seputar persoalan penting agama dan kehidupan. Jakarta : Lentera.

Ramli Isin. 1988. Berkenalan dengan novel. Petaling Jaya : Fajar Bakti Sdn Bhd.

S.Othman.1986. Novel tanggapan dan kritikan. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.











No comments: